Sebagai permulaan saya ingin memperkenalkan satu istilah penting dalam pemikiran haraki iaitu “Miawiyyah Jadidah“, iaitu era baru/ seratus tahun kedua perjalanan Harakah Islamiyah. Ia diilhamkan oleh sepotong hadis yang menyebut:
“Allah akan bangkitkan setiap kepala seratus tahun orang yang akan mentajdid urusan agamaNya.”
“Miawiyah Jadidah” (Era Baru)
Kalau kita merujuk kepada tarikh kejatuhan khilafah Uthmaniah iaitu pada 1924, maka 2024 genaplah seratus tahun “miawiyyah” yang pertama. Seratus tahun pertama akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Satu fenomena tajdid telah berlaku, kebangkitan semula Islam dipimpin oleh tokoh tokoh tajdid yang kita kenali dengan cita-cita utk mengembalikan semuala Khilafah Islamiyah.
Di penghujung seratus tahun pertama, sewajarnya kita melakukan muhasabah untuk menilai sejauhmana pencapaian serta kelemahan dan kekuatan yang perlu kita ambil kira untuk menempuh miawiyyah yang baru.
Renungan muahasabah ini adalah satu kewajiban yang mesti dilakukan sebelum kita melangkah ke miawiyyah yang baru.
Saya tidak berhasrat memanjangkan perbincangan tentang apakah muhasabah yang perlu dilakukan oleh Harakah Islamiyah pada tulisan ini, tetapi apa yang hendak saya ketengahkan ialah hakikat bahawa miawiyyah yang baru memerlukan tajdid yang baru.
Kita tidak boleh masuk miawiyyah baru begitu sahaja dengan meneruskan rutin lama atau berputar pada pusingan yang sama, kerana ia akan mengakibatkan pengakhiran kepada perjalanan Harakah Islamiyah secara keseluruhannya.
Tajdid Sistem Fikir
Saya percaya miawiyyah yang baru memerlukan kepada tajdid yang bukan sahaja menyeluruh tetapi juga mendasar. Semakan semula perlu dilakukan bukan sahaja dari sudut kaedah dan strategi atau pendekatan tetapi juga dari sudut sistem fikir (fikrah) itu sendiri.
Binaan sistem fikir Harakah perlu diset semula. Ia tidak cukup dengan apa yang sedia ada. Bahkan ia kini telah berada di stesen terakhir. Kita tidak boleh hanya melihat Islam (Islam yang kita mahu) dalam kerangka nizam (sistem) sahaja, bahkan kita harus pergi jauh lebih mengakar iaitu kepada falsafah ilmu yang melahirkan sistem sistem tersebut.
Kita sedia faham bahawa Islam bersifat syumul , lalu kita menuntut pengislaman seluruh sistem hidup. Alhamdulillah ia satu pencapaian bagi sebuah perjuangan.
Namun dalam masa yang sama kita tidak beri tumpuan yang secukupnya bahawa sistem Islam mestilah bersifat absolut (mutlak) tidak boleh bercampur aduk dengan sistem yang lain atau dengan kata lain sistem yang bangun atas fundamentalnya yang tersendiri. Disini tersembunyi kekurangan lalu dari sudut pemikiran yang perlu diperbaiki.
Oleh kerana kita memberi definisi dan penekanan kepada taghyir nizam (perubahan sistem) sahaja maka gerak kerja Harakah Islamiyah dalam pusingan aktivismenya berakhir dengan pertembungan politik sahaja.
Lompong Besar Harakah Islamiyah
Harakah meninggalkan lompong yang besar dari sudut pertarungan fikrah (pemikiran) dan ideologi. Walhal sistem alternatif yang hendak ditawarkan hendaklah berpijak pada asas ideologi (pemikiran) tersendiri. Harakah tenggelam dengan pertarungan politik dan ketinggalan jauh dalam bidang ilmu dan pembangunan pemikiran.
Akibat dari itu bila sampai pada satu peringkat, agenda dan penyelesaian yang dicadangkan oleh harakah tidak jauh beza dengan cadangan dan pelan yang dibangkitkan oleh parti parti sekular yang lain.
Akhirnya kita dapati tindak tanduk-Harakah Islamiyah diperingkat pertembungan politik bercanggah hampir sepenuhnya dengan idealisme perjuangan yang menjadi titik bertolak pada permulaan dahulu. Tiada lagi sistem (nizam) Islam dan tidak lagi sifat mutlaknya.
Ini semua berlaku kerana PENGABAIAN YANG SERIUS KEPADA ASPEK PEMBANGUNAN SISTEM PEMIKIRAN. Kita lupa atau tidak faham bahawa sistem yang kita perangi dan mahu ubah (islah dan taghyir) itu terbit dari falsafah ilmu yang berbeza.
Kalau kita tidak manpu bangunkan tasawur sistem hidup berasaskan falsafah ilmu kita sendiri, bagaimana kita boleh tawarkan alternatif yang berbeza? Apa yang berlaku ialah kita mencari Islam dalam kubang ilmu orang lain yang sekular. Sampai kiamat pun kita tidak akan jumpa.
Kesimpulan
Justeru Harakah Islamiyah di miawiyyah jadidah (era baru) perlu membetulkan keadaan, dengan melakukan pembaharuan (tajdid) yang mendasar dalam pembangunan sistem pemikiran.
Harakah Islamiyah perlu mengungguli madrasah pemikiran Islam sehingga terbangun sistem keilmuan Islam yang boleh menghadapi cabaran fikiran pada masa hadapan dan seterusnya mengemukakan semula agenda perubahan yang bersifat taghyir secara menyeluruh.