Ada Apa Dengan Sejarah

0

Lynn Hunt menulis satu frasa menarik mengenai sejarah dalam bukunya History : Why It Matters, kebenaran didalam sejarah adalah sangat penting kerana tanpanya penipuan oleh ahli politik dan penafi peristiwa besar seperti holocaust tidak mampu melawan hujah mereka. Hari ini kita melihat di serata dunia, pelbagai usaha rekaan mengenai sejarah yang direka bagi mengabsahkan suatu pandangan dan kuasa. 

Malah penyelewengan kebenaran dari sejarah juga berlaku dengan usaha mengubah interpretasi terhadap sejarah bagi menyokong kekuasaan sehingga membuang nilai kebenaran dalam sejarah itu. Kebenaran disini bukan sahaja kebenaran dari ketepatan sahaja yang ingin dimaksudkan. Tetapi juga kebenaran dalam kefahaman sejarah mengenai masa lampau yang membentuk kefahaman corak fenomena berulang yang boleh dilihat didalam masa kini. 

Sejarah merupakan satu idea yang kompleks berkenaan masa lalu, kini dan masa hadapan. Persoalan mengenai apa itu sejarah bermula dengan persoalan apa itu manusia dalam kedudukan penciptaan dan dunia. Sejarah ditulis kerana hasil kapasiti manusia itu sendiri untuk mengingati apa yang berlaku di masa lalunya. Thomas Hobbes dalam Leviathan menggambarkan bahawa bagaimana kita melihat masa lalu, akan membentuk masa depan kita. Huraian ini disambung oleh E.H Carr dengan ungkapannya yang sedikit berbeza iaitu “bagaimana kita mengvisikan masa hadapan kita akan membentuk cara fikir kita terhadap masa lalu”. Ernst Bloch menyimpulkan bahawa suatu asal usul yang sebenar bukan dalam permulaannya tetapi di pengakhirannya. 

Sejarah dan ilmu sejarah walaupun di era pasca kebenaran ini dilihat sebagai satu perkara yang tidak memberi nilai tambah kepada penghasilan pembangunan dan kemajuan namun masih menjadi suatu erti penting kepada setiap manusia dalam mencari makna dan asal usul. Ilmu ini dilihat penting bagi mencari korelasi dan sebab bagi fenomena dan setiap peristiwa yang berlaku di muka bumi. 

R.G Collingwood melihat bahawa semua sejarah adalah sejarah pemikiran dan juga bagi Collingwood sejarah ini merupakan satu ‘re-enactment’ atau penghasilan kembali satu pemikiran yang sejarahnya dikaji dalam minda atau akal seorang sejarawan. Dalam erti kata lain segala sejarah lepas adalah “sejarah pemikiran”. Namun begitu E.H Carr mengkritik penghujahan Collingwood yang melihat bahawa sejarah adalah satu kajian tentang pemikiran individu dalam sejarah. Bagi Carr sejarah seharusnya dilihat dalam bentuk pemikiran masyarakat. Kerana setiap individu yang lahir ini dilahirkan dalam masyarakat tidak kira zaman dan masa. Carr mengkritik sejarah yang cenderung kepada idea individualism kerana bagi beliau idea sejarah ini adalah cetusan individual ini adalah satu mitos moden. Carr menggambarkan sejarah sebagai satu interaksi antara masyarakat masa kini dengan masyarakat masa lampau. Perbezaan idea mengenai sejarah ini membawakan kita kepada persoalan utama iaitu apa itu sejarah?

Istilah sejarah dalam bahasa inggerisnya disebut ‘History’ yang berasal dari perkataan Greek ‘historía’ iaitu suatu ilmu yang yang diperolehi melalui penelitian, dalam bahasa Perancis disebut ‘histoire’, Geschicte dalam bahasa German, Tamnan dalam bahasa Siam, Babad dalam bahasa Jawa dan Hikayat di alam Melayu. Setiap pemilihan perkataan dalam menggambarkan apa itu sejarah memberikan gambaran pandang alam setiap ketamadunan ini dalam melihat sejarah. 


Sejarah dan Hegemoni ‘Progress’

Hegemoni Barat di abad ke 16-20 mengakibatkan segala pandang alam yang berbeza dari Barat dalam melihat sejarah diketepikan. Mereka menjadikan pemahaman mengenai sejarah hanya diterima dengan ukuran oleh makna sejarah yang diletakkan oleh Barat seperti memahami bahawa sejarah dunia ini dalam langkah menuju ‘modernity’ dan kemajuan yang dibawa Barat. Malah fahaman sejarah dalam melihat manusia ini dari evolusi keluarga beruk juga dipaksa pakai keatas dunia yang berlainan pandang alam dari mereka sehingga mengesani dunia Islam.

Bagi Voltaire, Condorcet, Hegel dan Comte, sejarah manusia secara keseluruhannya ini merupakan tidak lain untuk mencapai destinasi dan persediaan kepada kebangkitan Eropah Moden. Pemahaman ini meletakkan ‘progress’sebagai satu struktur yang homogen terhadap seluruh dunia dimana sejarah awal manusia merupakan langkah dan batu loncatan bagi kedatangan kemajuan sebenar iaitu ‘Western Modernity’. Pandang sejarah ini melihat peringkat zaman moden ini adalah kesempurnaan tertinggi manusia dan lahirlah idea seperti End Of History oleh Fukuyama dimana sejarah lalu adalah satu thesis dan antithesis yang melahirkan sintesis sejarah akhir iaitu dunia Demokatik Liberal. 

Pemahaman ini menyebabkan kesemua perkara diukur dan dilihat dari kaca mata kemajuan menurut barat seperti yang disebutkan oleh Robert Nisbet. Hal ini turut mempengaruhi cara fikir dunia dengan mengukur bentuk kemajuan dari bentuk nilai material barat dan melupakan unsur metafizik, spiritual serta makna diri dalam kehidupan. 

Apakah objek yang dikaji dalam Sejarah?

Apa sebenarnya yang dilihat dalam sejarah? Bagi R.G Collingwood objek bagi sejarah adalah res gestae iaitu tindakan atau suatu perbuatan manusia dalam alam ini di masa lalu. Bagi Collingwood sejarah ini merupakan satu pengkajian dan penyelidikan yang berhubung dengan satu bentuk pemikiran. Sejarah ini bagi beliau merupakan satu penyelidikan dan pengkajian bagi menjawab persoalan tindakan manusia di masa lalu.

Charles Van Doren melihat bahawa sejarah universal kemanusian sebagai suatu sejarah kemajuan dan pembangunan ilmu manusia. Van Doren melihat bahawa sejarah ini bukanlah sebagai satu yang berhubung dengan perbuatan manusia secara individual ataupun negara mahupun pencapaian dan kegagalan sebuah bangsa tetapi adalah satu siri naratif dan rekod tentang bagaimana ilmu manusia berkembang dan berubah sepanjang zaman. Idea ini dilihat sebagai satu idea bahawa sejarah manusia adalah satu sejarah perkembangan epistemologi yang membentuk cara manusia melihat dirinya di dunia dia berada.


Islam dan Sejarah

Kehadiran Islam pada abad ke-7 memberikan satu anjakan perubahan terhadap cara faham sejarah yang ada ketika itu. Persoalan mengenai makna kehidupan kemanusiaan, pencarian matlamat akhir kehidupan, tujuan penciptaan menjadi titik kepada permulaan pemahaman mengenai sejarah yang baharu.  Walaupun secara penulisannya historiografi sejarah islam tidak berubah sehingga kehadiran Al-Mas’udi dan Ibn Khaldun namun beberapa perubahan dalam pemikiran diri peradaban Islam, self-perception atau cerapan terhadap diri sendiri serta kedudukan mereka dalam sejarah berubah. Ini sekaligus dapat dilihat dalam tindak tanduk umat Islam di awal 23 tahun diutuskan Nabi S.A.W bermula dengan turunnya wahyu di gua hira’. 

Permulaan perubahan weltanschauung masyarakat yang memeluk Islam ketika di zaman tersebut menjadikan mereka menyedari bahawa mereka merupakan sebahagian didalam satu misi pensejarahan yang besar dalam dunia. Seterusnya misi masyarakat Islam ketika era awal tersebut menjadi satu misi ketamadunan yang membawa dan mengangkat Islam sebagai satu tamadun yang muncul pantas dan pesat perkembangan keilmuannya. Malah Wael Hallaq seorang pemikir Kristian dari Palestin dalam bukunya Impossible State dan dalam satu wawancara Al-Jazeera menggambarkan bahawa era Islam dahulu merupakan satu era yang jauh lebih makmur dan aman walaupun dari segi teknologinya tidak sepesat era moden kini. Begitu sekali misi ketamadunan Islam dan impaknya dalam sejarah dunia sehingga menjadi indikator kepada idea kemakmuran kemanusiaan seluruhnya.


Secara ringkasnya kepentingan melihat Islam dalam kedudukan sejarah serta bagaimana Islam melihat sejarah kemanusiaan dengan visi yang memberikan makna kepada kehidupan manusia secara keseluruhannya. Perkara ini harus digali kembali dengan lebih tekun dan keilmuan yang bebas dari bias kefahaman sejarah dibina atas idea kemajuan dan kemodenan barat bagi membolehkan umat Islam sendiri bebas dalam menjalani kehidupan dengan makna dan ketinggian pemikiran bagi meneruskan legasi ketamadunan yang telah diwariskan oleh Rasul S.A.W dan umat terdahulu. 


“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman (Surah Yusuf : 211)

Leave A Reply

Your email address will not be published.