Aidiladha 1442H: Wawasan Peradaban Nabi Ibrahim AS

0

الله اكبر الله اكبر الله اكبرلا اله الا الله الله اكبر الله اكبر ولله الحمد

Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha pada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia. Moga Allah menerima amalan kita serta menerima ibadah korban sembelihan yang akan dilakukan pada hari yang mulia ini.

Aidiladha adalah sebuah sambutan yang mempunyai makna tersendiri dan istimewa pada kita Umat Nabi Muhammad SAW. Uniknya, ia disandarkan kepada sebuah peristiwa yang berlaku jauh ribuan tahun sebelum lahirnya Nabi Muhammad iaitu kisah Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail AS.

Penyandaran ini secara tidak langsung menggambarkan bagaimana peradaban ini mempunyai susur jalur yang panjang, yang tidak terputus sepanjang zaman. Rantaian kita bukan sekadar bermula daripada Nabi Muhammad.

Falsafah Ilmu Nabi Ibrahim AS

Dalam kisah Nabi Ibrahim AS mempunyai erti yang sangat besar pada kita dalam memahami erti sebuah peradaban. Perjalanan Baginda sejak remaja lagi (Surah al-An’am ayat 74-83) telah mula mempersoalkan kebenaran ilmu yang dipegang oleh kaumnya tentang ketuhanan. Segala persoalan dalam dirinya tentang ketuhanan menunjukkan bagaimana potensi insan mempunyai kekuatan secara fitrah dan menggunakan rasional akalnya sehingga mampu mencapai kepada asas kebenaran.

tingginya falsafah ilmu yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS

Baginda juga menunjukkan bagaimana kesesatan kaumnya itu tidak berdiri di atas sebarang asas ilmu melainkan ia adalah ikutan sebuah falsafah taghut yang diwarisi. Sindiran Baginda tentang lemahnya logik fikir kaumnya saat dia menghancurkan berhala itu lebih jelas menunjukkan kukuhnya konsep ilmu yang tertanam dalam jiwa Baginda. Hal ini menjadi asas penting sebagai sebuah falsafah ilmu yang melatari Peradaban Tauhid sepanjang zaman.

Keteguhan Baginda selepas itu secara bersendirian berhadapan dengan sebuah tamadun besar yang diketuai oleh Namrud ketika itu juga membina tasawwur peradaban. Ia menggambarkan terhadap sebuah pertembungan yang berlaku sepanjang zaman antara Peradaban Tauhid dan Tamadun Taghut.

Walaupun Baginda ketika itu bersendirian tetapi apabila Allah menggambarkan tentang susuk Baginda dilihat dengan nilai sebuah ‘ummah’. Ini memberi gambaran pada kita ia bukanlah sekadar teguran seorang manusia terhadap seorang raja tetapi ia adalah berdirinya sebuah Peradaban Insaniah dihadapan sebuah tamadun zalim yang melakukan fasad.

Menggariskan Blueprint Peradaban

Kisah Nabi Ibrahim juga tidak berhenti sekadar pada menentang sebuah tamadun taghut. Baginda sendiri menjadi batu asas berdirinya dua Peradaban Tauhid yang akan berdiri selepas itu.

Baginda (seperti yang telah disebut dalam Hadis) yang telah membina Masjid al-Aqsa menjadi asas kepada Peradaban Tauhid daripada keturunan anaknya Nabi Ishaq AS sehingga diterajui oleh bangsa Yahudi (saat beriman) yang puncak kegemilangannya pada era Nabi Sulaiman AS. Baginda juga yang membina Kaabah menjadi asas kepada Peradaban Tauhid melalui anak Baginda Nabi Ismail AS yang diwarisi oleh kita Umat Nabi Muhammad SAW.

Kejelasan Baginda terhadap wawasan peradaban (ru’yah hadari) iaitu bagaimana membina serta membangunkannya dapat dilihat antaranya doa Baginda AS bersama anaknya Nabi Ismail. Doa tersebut yang Allah rakamkan di dalam Quran Surah Al-Baqarah ayat 126 hingga 129 menggambarkan ia adalah sebuah blueprint peradaban itu sendiri.

Di dalam doa tersebut menggambarkan pelbagai sudut peradaban pada kebahagiaan dan kemakmurannya, ilmu dan hikmahnya, kepimpinan dan kuasanya serta kepentingan wahyu dalam menyempurnakan potensi akal insan. Wawasan peradaban seperti inilah yang hilang dalam jiwa umat hari ini.

Kita Pewaris Peradaban Ibrahim AS

Maka bersempena Aidiladha yang mulia ini, ia adalah saat terbaik untuk Umat Islam melihat kembali tentang erti peradaban yang diajarkan kepada kita oleh Nabi Ibrahim AS. Rapat dan istimewanya hubungan kita dengan Baginda sehingga disetiap solat kita berselawat mendoakannya.

Bahkan Allah SWT apabila menyandarkan kita kepada Nabi Ibrahim disandarkan dengan istilah ‘bapa’ (مِلَّةَ اَبِيْكُمْ اِبْرٰهِيْمَۗ). Allah juga telah menyucikan Baginda daripada sebarang hubungan dengan Yahudi dan Kristian hari ini (مَاكَانَ اِبْرٰهِيْمُ يَهُوْدِيًّا وَّلَا نَصْرَانِيًّا وَّلٰكِنْ كَانَ حَنِيْفًا مُّسْلِمًاۗ) maka istilah Abraham Religion (cthnya dalam isu Palestin) yang cuba diangkat oleh barat dan para munafik jelas jauh menyeleweng.

Maka hanya kitalah yang layak mewarisi Peradaban Tauhid yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim AS.

Leave A Reply

Your email address will not be published.