Penelitian terhadap ayat-ayat Al-Quran akan memberikan kita satu dapatan bahawa segala isi kandungan Al-Quran berputar pada satu paksi ketuhanan yang sedang mengawal selia setiap tuntutan pada setiap ayat-ayat Al-Quran yang ada.
Ia adalah satu susunan yang mengikut tertibnya yang tersendiri.
Ketertiban Dalam Membina Tasawwur
Jika kita perhatikan fokus pada setiap tabiat surah-surah pula berbeza mengikut fasa penurunan. Kita dapati dalam surah-surah Makkiyyah, ciri yang ditekankan berupa keyakinan kepada hari Akhirat, nilai akhlak dan prinsip-prinsip utama dalam Islam berupa keadilan, kehormatan, kemuliaan dan kebertanggungjawaban.
Dalam surah-surah Madaniyyah pula, ciri yang ditekankan berupa perundangan, hukum-hakam, dan polisi-polisi luar kenegaraan serta tabiat perhubungan antara masyarakat muslim dengan bukan muslim.
Jika kita perhatikan dari sudut isi kandungan setiap ayat, baik berupa penciptaan langit dan bumi serta kejadian alam, atau kisah-kisah para anbiya’, atau penciptaan Adam AS dan iblis, atau tuntutan dan larangan (yakni ayat-ayat hukum), atau gambaran pada hari akhirat, atau penghujjahan dalam membuktikan keesaan Tuhan terhadap mentality dan cara fikir orang kafir.
Walaupun mempunyai satu sudut fokus yang berbeza-beza, hakikatnya ia sedang menguatkan paksi yang mengawal selia setiap satu, iaitu akar tauhid yang mekar berkembang pada setiap sudut kehidupan bagi membina sebuah manifestasi tertinggi bagi sebuah pohon tauhid.
Hakikatnya kesemua isi kandungan ini hanya menonjolkan sisi-sisi kesempurnaan Tuhan, yang dinyatakan dalam setiap isi kandungan ayat Al-Quran.
Jika mahu digariskan dengan lebih jelas, penciptaan langit dan bumi adalah bukti keesaan-Nya, kisah perutusan para anbiya’ adalah bukti ketinggian rahmat-Nya terhadap makhluk-Nya bagi mengenali-Nya, penciptaan Adam AS adalah bukti ketinggian ilmu-Nya dalam memilih antara makhluk-Nya siapa yang selayaknya menjadi ‘wakil-Nya’.
Kesempurnaan Tuhan Kepada Tanggungjawab Insan
Ayat-ayat berupa larangan dan tuntutan adalah bukti kebijaksanaan-Nya dalam mengatur kehidupan makhluk-Nya, gambaran pada hari akhirat adalah bukti keadilan-Nya, penghujjahan yang diajukan dengan pelbagai bentuk pula adalah bukti kelembutan dan kasih sayang-Nya terhadap makhluk-Nya, dan demikianlah jika kitab oleh kiaskan keseluruhan ayat-ayat Al-Quran ini, pada hakikatnya sedang membesarkan sebuah makna tauhid yang jitu, bersepadu, sempurna dan kukuh.
Atas sebab itu jika kita perhatikan keterkaitan ini sangat jelas dalam kebanyakan surah Al-Quran. Surah al-Mulk contohnya ia dimulakan dengan penciptaan langit dan bumi, kemudian masuk kepada kisah ahli neraka, dan masuk pula kejadian alam, dan masuk terus kepada dialog Nabi Bersama dengan orang kafir beserta beberapa penghujjahan, lalu ia diakhiri pula dengan kuasa Allah dalam penyaluran air untuk penerusan kehidupan manusia.
Demikian juga dalam surah seterusnya, iaitu Surah al-Qalam, ia dimulakan dengan perakuan dan kesaksian Allah SWT terhadap akhlak Baginda Rasulullah SAW, disambung dengan celaan terhadap seorang musuh Nabi SAW, dan masuk kepada kisah pemilik-pemilik kebun, gambaran hari akhirat, kemudian Kembali semula kepada perihal baginda SAW bersama kaumnya, di mana wujudnya saranan untuk bersabar dan agar tidak menjadi seperti Nabi Yunus AS yang melarikan diri dari kaumnya, lalu ia diakhiri dengan gambaran tipudaya orang kafir dan kebenciannya terhadap risalah ini, dan perakuan daripada Allah bahawa ia adalah peringatan kepada sekalian alam.
Persoalannya, kenapa begitu sekali cara penyusunan isi kandungan setiap surah ?
Kita mungkin sudah jawab persoalan ini pada perenggan awal dan sudah pun kita syarahkan keterkaitannya. Tapi kita mahu meneliti falsafah di sebalik penyusunan yang cukup tinggi nilai kesusasteraannya dan cukup unik penghuraiannya.
Tugas Insan Sebagai Khalifah
Hakikatnya ia sedang menterjemah bentuk-bentuk tanggungjawab, amanah dan risalah yang dipikul oleh seorang makhluk bernama manusia. Ia adalah satu tugasan berat yang memerlukan sudut-sudut kesempurnaan itu dicakupi bagi membuktikan sebuah kesempurnaan Tuhan. Apabila Allah SWT memilih manusia sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi ini, Allah SWT mengutuskan Rasul-Nya untuk menunjuk ajar, dan menurunkan Al-Quran bagi memandu kehidupan mereka selepas kewafatan Rasul-Nya.
Setiap yang diceritakan dalam Al-Quran hakikatnya bukan semata-mata menunjukkan kesempurnaan Tuhan, bahkan ia sedang menunjukkan kesempurnaan tugasan seorang manusia.
Benar, ia meliputi pengalaman-pengalaman manusia, seperti yang wujud di dalam kisah-kisah para anbiya’. Ia meliputi ilmu dan keluasan pandangan, yang memahami hakikat penciptaan kehidupan dan kematian, langit dan bumi serta keseluruhan alam. Ia juga meliputi ketinggian akal dalam mengenengahkan hujjah ke atas sekalian manusia. Ia juga meliputi keseimbangan pertimbangan, dalam memahami gambaran hari akhirat bagi mencerminkan gambaran kehidupan di dunia.
Segalanya itu, hanya dengan demikian, barulah seorang manusia mampu memahami bahawa tugasannya di atas muka bumi ini bukan semata-mata seorang hamba kepada Allah SWT, yang juga dikongsi posisi itu Bersama makhluk-makhluk yang lain. Tetapi dia adalah seorang yang diberikan kepercayaan, tanggungjawab, risalah dan amanah, dalam menjadi ‘wakil’ (khalifah) Allah di atas muka bumi ini.
Dengan saiz tanggungjawab yang besar itu, barulah kita fahami kenapa Allah menyuruh para malaikat bersujud kepada Nabi Adam, dan kenapa Dia menundukkan segala yang ada di langit dan di bumi, untuk satu makhluk, yang bernama manusia.