Bagaimana Ramadan Membangun Budaya Keilmuan Insan?

0

Apabila bercakap soal Ramadan, kita sering menggambarkan ia bulan pembentukan diri manusia dengan maksud pada sisi ruhinya semata-mata. Lalu apabila tibanya kita membayangkan ia dengan amalan ibadah khusus yang bersifat sendirian seperti tilawah Quran, bangun malam, zikir, sedeqah dan lainnya. Benarkah sedemikian? Betulkah bulan ini hanya membentuk ruh kita?

Membetulkan Naratif Ramadan

Dalam memperbetulkan naratif ini, asas yang perlu kita ingat bahawa Allah menciptakan insan bukan pada aspek ruhi semata tetapi dalam bentuk yang menyeluruh. Ia meliputi juga aspek luaran fizikal begitu juga dalaman dalam erti yang luas meliputi akal, nafsu dan ruh.

Maka apabila kita menyatakan bulan ini adalah madrasah dariNya pada insan, sudah tentu madrasah yang menjadi landasan itu bersepadu seperti mana menyeluruhnya insan tanpa menafikan aspek lainnya. Jadi bagaimana kesepaduan madrasah ramadan itu berlaku?

Antara aspek yang dibangunkan pada bulan ini adalah pada akal dan keilmuan insan.

Jika kita melihat ayat Quran yang berbicara soal bulan Ramadan sudah cukup memberi naratif sangat luas berkenaan bulan yang mulia ini. Ia adalah sebuah bulan yang membentuk insan bagi mencapai insaniahnya. Antara aspek yang dibangunkan pada bulan ini adalah pada akal dan keilmuan insan.

Pertama sekali bila mana Allah berbicara soal ibadah puasa diikatnya kebersamaan dengan umat terdahulu dengan menyebut “seperti mana diwajibkan terhadap umat sebelum kamu”. Disini ia membawa seorang insan itu berfikir siapakah itu umat terdahulu? apakah hubungannya dengan umat ini? bagaimana bentuk susur jalurnya?

Kesemua persoalan ini boleh menjadi landasan besar kepada ilmu sejarah. Ia meletakkan disana umat Muhammad bukan satu-satunya umat berdiri atas tauhid tetapi disana atas susur jalur kebenaran yang melaksakan syariat seperti umat ini.

Ramadan adalah Bulan Keilmuan

Di ayat seterusnya Allah meletakkan pada bulan mulia ini diturunkan satu sumber keilmuan yang amat penting bagi insan iaitu al-Quran. Dalam ayat tersebut disebut secara jelas tentang peranan sumber ini dalam menyempurnakan falsafah ilmu insan. Ia sebagai “hidayah bagi insan” (huda li al-nas), “petunjuk” (bayyinat) serta “pemisah” (al-furqan) yang kesemua ini memberi makna sangat besar dalam falsafah ilmu.

Abdul Halim Mahmud (t.th) menyebut hakikatnya kesemua hasil keilmuan insan adalah hidayah dariNya. Maka dengan adanya Quran ini membolehkan akal dan pancaindera insan bertindak dengan sejahtera bagi mencapai kebenaran.

Kemudian diceritakan tentang bilakah puasa tersebut akan bermula. Disebut dalam Quran “sesiapa yang menyaksikan tibanya bulan tersebut maka hendaklah dia berpuasa” memberi makna sebuah ilmu alam yang besar. Ia adalah ilmu astronomi atau falak yang berkait dengan potensi insan dalam mencerap alam disekeliling.

Tanpa mempunyai ilmu untuk membaca anak bulan, mustahil ibadah puasa ini dapat  disempurnakan. Ia tidak melihat secara terasing antara ibadah dan ilmu seperti sekularnya sains hari ini yang cuba mengeluarkan keTuhanan daripada kajian alam.

Ayat seterusnya pula masih lagi bercerita tentang ilmu yang menjadi landasan bagi keuzuran berpuasa iaitulah perubatan dan geografi. Disebut “sesiapa antara kamu sakit” tidak memberi makna apa-apa sahaja sakit membolehkan seseorang itu tidak berpuasa. Ia memerlukan kepada kajian perubatan apakah bentuk kesakitan yang boleh memudaratkan dirinya jika berpuasa sehingga dibolehkan berbuka.

Begitu juga “atau yang dalam pemusafiran” tidak bermaksud siapa sahaja bergerak atau berjalan itu boleh sesuka hati berbuka. Ia memerlukan kepada penentuan jarak atau tempoh perjalanan tertentu sehingga boleh disebut sebagai ‘musafir’.

Di akhir ayat tersebut Allah menutupnya dengan ilmu yang hari ini banyak memberi sumbangan kepada pembangunan kita iaitulah matematik. FirmanNya “untuk dicukupkan bilangannya” menuntut kepada insan itu kemampuan untuk mengira serta menggunakan kiraan logik akal bagi menentukan telah sempurnanya bilangan hari berpuasa.

Menghayati ayat Quran berkenaan puasa sahaja cukup memberi kita besarnya makna keilmuan dalam bulan Ramadan ini. Jadikan bulan ini sebagai batu loncatan untuk kita terus terokai lautan ilmuNya yang tidak bersempadan ini. Seruan barat hari ini kononnya semakin berilmu seseorang akan samakin jauhnya dari beragama adalah sebuah dogma yang menyeleweng.

Bagi kita umat Islam semakin kukuh imannya semakin tinggi budaya keilmuan yang ada dalam dirinya. Ini kerana dengan cebisan-cebisan kebenaran yang dirungkai daripada ilmu itu membawa insan itu semakin mengenali al-Haq sumber segala kebenaran.

Muhammad Firdaus Zalani,
Pengarah PEMIKIR

Leave A Reply

Your email address will not be published.