Baru-baru ini telah rakaman Podcast Pertiwi (rancangan kerjasama antara PEMIKIR dan TV Pertiwi) diadakan di studio TV Pertiwi. Rakaman kali ini bersama Saudara Aulia Rahman Zulkarnain, Sekretariat PEMIKIR bersama dengan Prof Madya Dr Fakri Zaky bin Ja’afar, Ketua Jabatan Senibina Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM).
Topik yang didiskusikan dalam sesi ini adalah berkenaan “Dikotomi Ilmu Agama dan Ilmu Sains“. Tajuk ini dipilih kerana PEMIKIR berpendapat bahawa wujud fenomena dikotomi atau pemisahan yang berlaku antara ilmu agama dan ilmu sains. Keadaan ini digambarkan melalui klasifikasi ilmu dan aliran pendidikan yang memisahkan antara ilmu agama dan ilmu sains. Menurut kajian yang dilakukan oleh PEMIKIR, fenomena ini menyebabkan ilmu agama hilang unsur-unsur saintifik (agama mundur), dan ilmu sains yang hilang unsur-unsur keagamaan (sains ateistik).
Antara kesan daripada dikotomi ini adalah berlakunya reductionisme ilmu, di mana ilmu dilihat secara asing dan terpecah-pecah tanpa wujud kesepaduan antara ilmu-ilmu yang pelbagai. Akhirnya ia menghasilkan ilmuan yang hanya fokus kepada sesebuah bidang secara spesifik tanpa ada pengetahuan langsung tentang perkara lain di luar bidangnya. Ini tidak bertepatan dengan ekosistem ilmu yang wujud pada ulama Islam silam , di mana hampir semua ulama Islam menguasai pelbagai bidang ilmu dalam satu-satu masa.
Tidak dinafikan usaha dan inisiatif yang dibangunkan sekarang seperti sekolah integrasi, kurikulum bersepadu dini, modul pendidikan ulul albab, universiti Islam dan lain-lain cuba untuk mengatasi masalah dikotomi ini. Cuma persoalannya adakah mencukupi usaha ini untuk mengatasi permasalahan ini?
Nantikan jawapannya dalam rancangan Podcast Pertiwi yang bakal diterbitkan kelak.
Saksikan episod lalu Pertiwi Podcast yang bertajuk “Kerancuan Falsafah Barat” di sini https://www.youtube.com/watch?v=XjU9rorpkRw&t=1242s.
————————————
MENJUNJUNG ILMU, MEMBANGUN PERADABAN
(Diskusi seperti ini adalah usaha PEMIKIR bagi mengarus perdana ‘Wacana Pemikiran Peradaban Baharu’ dikalangan ilmuwan dan awam. Layari https://pemikir.com.my untuk maklumat lanjut)