Hanya Peradaban Islam Menjamin Kemuliaan Insan

0

Para  sarjana dan pemikir secara umumnya bersetuju meletakkan faktor  insan sebagai unsur terpenting yang memastikan kelangsungan  sesebuah peradaban. Insan sebagai makhluk sosial sepertimana yang diistilahkan oleh Ibn Khaldun, merupakan aktor utama yang berperanan membentuk dan mencorak peradaban. Insan berbeza dengan haiwan dan malaikat. Ia mempunyai unsur hebat dari segi roh, nafs, akal dan emosi serta fizikal yang membolehkannya membina kehidupan dan peradaban. Insan mendapat darjat mulia apabila beriman dan beramal soleh. Kemuliaan insan juga diukur dengan menguasai ilmu hingga menjadi malakah dan dapat menggunakan akal fikiran yang waras pada tempat yang betul serta dapat memberikan manfaat kepada insan lain.

Konsep Kemuliaan Insan

Menurut al-Quran manusia adalah makhluk istimewa dan paling mulia kejadiannya.  Al-Quran menggunakan istilah yang khusus bagi menggambarkan kesempurnaan ciptaan manusia. Dalam situasi yang lain Allah menyatakan bahawa Dia mencipta dan mengelokkan rupa bentuk mereka. Penciptaan manusia dari segi bentuk fizikal yang indah disempurnakan dengan satu unsur yang abstrak iaitu unsur roh. Ini dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran dalam surah al Hijr yang bermaksud:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat:

“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering,

Yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. “Kemudian

apabila aku sempurnakan kejadiannya, serta aku tiupkan padanya roh dari

(ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadaNya”.(Al-Hijr:28-29)

Keistimewaan kejadian manusia dari segi fizikal dan roh turut dilengkapkan dengan anugerah akal fikiran. Mulianya insan kerana memiliki akal yang boleh menguasai alam dan membawa rahmat kepada seluruh alam seperti yang telah dilaksanakan oleh para Nabi dan Rasul di samping keupayaan mereka memperolehi ilmu melalui deria dan ilham (al-Muhammady, 1984) Ketiga-tiga aspek ini dan aspek lain seperti emosi merupakan pelengkap kepada kejadian manusia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan tamadun.

Keindahan manusia dalam bentuk lahiriah  belum menepati tahap kesempurnaan dan keindahan yang sebenar  tanpa disusuli dengan keindahan rohani.

Al-Quran menjelaskan bahawa kejadian manusia adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT daripada dua unsur, iaitu jasmani dan rohani. Keindahan manusia dalam bentuk lahiriah  belum menepati tahap kesempurnaan dan keindahan yang sebenar  tanpa disusuli dengan keindahan rohani. Manusia merupakan makhluk Allah SWT yang istimewa yang  dianugerahkan sifat-sifat khusus bagi melayakkannya menanggung  amanah Allah SWT yang tidak tertanggung oleh makhluk lain (Haron Din, 1985). Manusia  dipertanggungjawabkan dengan fungsi dan tugas sebagai khalifah  Allah SWT untuk memakmurkan muka muka dengan segala isinya.

Karamah atau kemuliaan (dignity) berbeza dari penghormatan (respect), kerana kemuliaan adalah nilai yang sedia ada pada diri manusia manakala penghormatan adalah kesan atau natijah dari perilaku atau akhlak seseorang. Karamah insan juga bukan terhasil dari undang-undang yang digubal. Undang-undang boleh digubal bagi melindungi dan mempertahankan kemuliaan insan tetapi undang-undang tidak boleh merungkai atau mencabutnya dari diri manusia. (Abdul Halim Ismail, 2017).

Dalam sejarah masyarakat Barat, tokoh seperti Aristotle, Cicero, Albert the Great dan Thomas Aquinas telah membincangkan konsep dignitas humana atau dalam istilah yang dipakai kini Human Dignity. Dari segi sejarah, perkataan dignity yang berasal dari perkataan Latin, dignus yang bermaksud wajar dan disanjung (worthy), digunakan sebagai menggambarkan kedudukan dan kemuliaan seseorang dalam masyarakat. Immanuel Kant (1724-1808), seorang ahli falsafah German, dianggap sebagai sumber idea kontemporari tentang Human Dignity. Bagaimanapun, kerangka falsafah post-modern mengenai Human Dignity dilihat lebih banyak pengaruh dalam membentuk asas bagi demokrasi moden dan hak-hak asasi manusia.  Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia, 1948, turut menerima prinsip ‘human dignity’ dan menganggapnya sebagai inherent dan inalienable. Prinsip ini telah diguna sebagai rasional bagi pengubalan hak-hak asasi.

Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin et. al (2007) menjelaskan konsep insan sebagai khalifah meletakkan manusia sebagai pemimpin dan diamanahkan untuk mentadbir dan memakmurkan bumi Allah SWT. Amanah yang besar ini perlu dilengkapi dengan pakej yang menyeluruh merangkumi ilmu, kemahiran dan pengalaman ditunjangi oleh agama sebagai paksi. Perkembangan peradaban tidak hanya terbatas kepada pembinaan aspek fizikal dan material tetapi turut melibatkan proses pembangunan manusia secara menyeluruh secara berterusan sepanjang tempoh kehidupan. Sumbangan manusia diukur dengan keupayaan memberikan manfaat dan kesejahteraan kepada masyarakatnya selain dapat mengatur sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Ali Syariati merumuskan bahawa unsur roh mengajak manusia menuju puncak spiritual tertinggi, mana kala unsur tanah meletakkan manusia pada tahap rendah dan hina. Manusia sebagai makhluk yang mempunyai pelbagai potensi, iaitu kebebasan, intelektual dan spiritual berkemampuan menentukan kedudukannya sendiri sama ada berada pada tahap kemuliaan atau kehinaan. Kecenderungan manusia terhadap unsur tanah meletakkan manusia sebagai basyar, iaitu manusia sebagai makhluk biasa. Sedangkan kecenderungan terhadap unsur roh ketuhanan mengangkat martabat manusia menjadi insan yang sebenar. Hanya manusia yang bergelar insan berupaya menyesuaikan  diri dengan tiga sifat ilahiyyah (ketuhanan), iaitu kesedaran diri yang memberi ruang kepadanya untuk memilih, kebebasan berkehendak dan yang terakhir kreativiti mencipta produk serta hasil. Kemampuan manusia mengembangkan ketiga-tiga sifat tersebut melayakkannya menjadi khalifah Allah di atas muka bumi. (Norfarahani Binti Rosman, Mohd Shaukhi Bin Mohd Radzi, 2020)

Ali Syariati juga memberi penekanan terhadap peranan golongan cerdik pandai yang beliau istilahkan sebagai Raushanfikr. Raushanfikr merupakan istilah Parsi yang bermaksud ‘pemikir yang mencerahkan’ atau dalam terjemahan bahasa Inggeris diistilahkan sebagai intellectual. Walau bagaimanapun, Jalaluddin Rahmat (1987) menyifatkan bahawa konsep Raushanfikr yang diketengahkan oleh Ali Syariati berbeza dengan ilmuwan kerana menurutnya ilmuwan menemukan kenyataan dan menampilkan fakta sebagaimana adanya tetapi Raushanfikr menemukan kebenaran dan memberikan penilaian sebagaimana harusnya. Raushanfikr adalah model manusia yang diilhamkan oleh Ali Syariati untuk memimpin masyarakat ke arah membina peradaban yang unggul.

Konsep Raushanfikr yang diketengahkan oleh Ali Syariati mempunyai persamaan dengan konsep ulil albab seperti yang terdapat di dalam al-Quran yang merujuk kepada ‘orang yang mempunyai hikmah’ (2:269), ‘yang sanggup mengambil pelajaran dari sejarah umat dahulu’ (12:111), ‘berusaha menyampaikan peringatan Allah kepada masyarakat dan mengajari mereka prinsip tauhid’ (14:52).

Konsep Peradaban Insani

Istilah peradaban  sering disamakan dengan pengertian  tamadun yang merujuk kepada pencapaian dan kemajuan sesebuah  bangsa dan masyarakat meliputi aspek rohani dan jasmani (Mahadi Abu Hassan & Khadijah Mohd Khambali, 2013). Istilah tamadun juga merujuk kepada sifat yang abstrak dan universal, kehidupan seharian manusia yang berasaskan pengalaman rohaniah manusia yang dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan, sosio ekonomi dan kemajuan sains teknologi dalam sesebuah masyarakat. Perkataan tamadun yang diguna pakai pada hari ini adalah berasal daripada perkataan bahasa Arab. Menurut Naquib al-Attas (1992), istilah tamaddun memberikan pengertian kehidupan insan bermasyarakat telah mencapai tahap kehalusan tata susila dan kebudayaan yang luhur. Ibn Khaldun  memperkenalkan terminologi ‘umran  sejak abad ke 14 Masihi yang juga merujuk kepada pengertian peradaban. Kesemua istilah yang dibincangkan merujuk kepada satu tujuan yang  sama, iaitu pembangunan kota, kehalusan tata susila dan kebudayaan  dan kehidupan berteraskan akidah, syariah dan akhlak yang mulia.

Perkataan madaniyyah telah diperkenalkan oleh al-Farabi pada abad ke-11 dalam kitabnya al-Siyasah al-Madaniyyah. Perkataan ini berasal daripada kata terbitan ‘madinah’ yang bermaksud ‘kota’. Madaniyyah ialah kehidupan yang berasaskan aqidah, syara’ dan akhlak. Perkataan ini turut digunakan pada kemudiannya oleh Muhammad Farid Wajdi dalam abad ke-20 seperti tercatat dalam kitabnya al-Madaniyyah wa al-Islam. Syeikh Muhammad Abduh melalui risalahnya al-Islam wa al-Nas wa al-Ilm wa al-Madaniyyah dan Tafsir al-Manar turut menggunakan istilah madaniyyah sebagai mengganti penggunaan istilah tamadun.

Ibn Khaldun memberikan perhatian khusus kepada faktor kekuatan dalam berfikir dan menjayakan budaya ilmu dalam pembinaan peradaban. Insan yang memiliki daya ilmiah mampu membentuk peradaban insani yang berpaksikan ilmu. Ibn Khaldun memerhatikan bahawa umat Islam mendapat kedudukan yang mulia dan tinggi dalam dunia ini apaabila mereka mempunyai kemampuan yang tinggi dalam berfikir dan juga mempunyai kemampuan yang tinggi dalam ilmu pengetahuan – yang ditonton oleh keimanan mereka yang tinggi dan ketaqwaan mereka kepada Allah dalam kegiatan berfikir dan ilmunya. Insan menjadi sempurna dengan ilmu, manakala peradaban insani juga dilengkapkan dengan ilmu.

Ibn Khaldun memberikan perhatian khusus kepada faktor kekuatan dalam berfikir dan menjayakan budaya ilmu dalam pembinaan peradaban.

Dalam kitab karangan beliau, alMuqaddimah dalam bab yang membicarakan ilmu pengetahuan beliau menyebut tentang perkembangan ilmu-ilmu dalam Islam bermula dengan ilmu berkenaan dengan Quran, Sunnah, hukum, akidah, akhlak, tasawwuf, sampai kepada ilmu perubatan, ekonomi dan seterusnya yang memungkinkan peradaban Islam berkembang dalam dunia dengan jayanya mengembangkan ilmu-ilmu syariyyah dan juga ilmu-ilmu akliah. Muslimin memainkan peranan memberi kefahaman tentang ilmu yang asli dan juga olahan yang mereka buat daripada warisan tamadun yang terdahulu dalam perubatan, falsafah, fizik, kimia dan seterusnya. Ilmu-ilmu itulah yang menyebabkan kehidupan Muslimin dalam tamadun mereka dengan jayanya dilihat dari segi duniawi dan ukhrawi. (Muhammad Uthman el-Muhamady, 2007).

Malek Bennabi menjelaskan bahawa gagasan pertama peradaban manusia ditunjangi oleh kemunculan pemikiran keagamaan dan kejatuhannya didokong oleh kerendahan nilai keagamaan dan moral sebagai akibat daripada kehilangan roh dan akal dalam diri manusia (Malek Bennabi, 1994). Dalam mengkaji perkembangan peradaban Islam, Bennabi menyifatkannya sebagai satu bentuk interaksi organik yang menghubungkan pemikiran dengan pendokongnya, iaitu manusia.  Ia mengangkat kedudukan insan yang mempunyai roh dan akal yang dapat memakmurkan bumi. Oleh yang demikian, kesemua nilai yang menjadi ciri sesebuah peradaban pada suatu masa tertentu adalah merupakan penjelmaan  sejarah terhadap interaksi organik antara pemikiran tertentu, umpamanya Islam dengan individu tertentu yang boleh dinisbahkan kepadanya, iaitu manusia Muslim. Peradaban Islam adalah peradaban insani dalam erti katanya lain insan disempurnakan dengan acuan peradaban Islam.

Akal atau pemikiran yang merupakan unsur kemulian insan adalah sumber pembinaan peradaban Islam yang penting. Ini kerana ilmu pengetahuan yang dikuasai oleh seseorang melalui akal fikirannya dapat membentuk dan melahirkan sesuatu yang baru dan menghasilkan kemajuan. Manusia boleh membangun dan bergerak maju dengan menggunakan akal untuk membangunkan peradaban. Namun sekiranya akal yang berpandukan nafsu digunakan untuk mereka cipta sesuatu yang boleh merosakkan keselamatan agama, maruah, keturunan, tubuh badan dan harta benda, maka ia boleh merosakkan dan memusnahkan tamadun manusia.

Kesimpulan

Peradaban Islam merupakan suatu peradaban yang berasaskan akidah, petunjuk kenabian, pencerapan pengalaman pelbagai umat, berasakan ilmu pengetahuan dan akal fikiran sihat yang mengangkat kedudukan dan kemuliaan insan. Pencapaian peradaban Islam itu dalam pelbagai bidang kemajuan adalah adunan pelbagai aspek dan sumber, membentuk peradaban yang mempunyai sifatnya yang tersendiri dan unik. Ianya melambangkan keperibadian Islam yang terus berkembang untuk memberi sumbangan terhadap kehidupan manusia keseluruhannya. Masa depan peradaban Islam bergantung kepada sejauh mana umat Islam menjana sumber kekuatan komprehensif dengan menggabungkan kemajuan dan pembangunan ilmu, fizikal, emosi, spiritual, kesejahteraan jasmani dan rohani yang merupakan ciri kepada kemuliaan insan.

Dr Osman Bin Md Rasip

Felo Kanan PEMIKIR

Rujukan

Ab Aziz Yusof 1, Mutiara Dwi Sari 1 Pembangunan Modal Insan Daripada Perspektif Islam: Impak Kepada Pengurus, Journal Of Social Sciences And Humanities (MJSSH), 2017, Volume 2, Issue 1, (ms 40 – 52)

Abdul Halim Ismail, Karamah Insan Dalam Kebangkitan Islam Masa Depan, 2017, http://wadahutara.blogspot.com/2017/02/abdul-halim-ismail-karamah-insan.html

Che Zarrina Sa’ari , Mohd. Kamil Hj. Ab. Majid,  Epistemologi Islam Menurut Ibn Khaldun, Jurnal Usuluddin, Januari 2000, ms73-94

Fatkhurrohman, Humanisme Dalam Perspektif Islam Dan Barat, https://ojs.unsiq.ac.id/index.php/mq/article/download/901/475/

Ibn Khaldun His Life and Work”, by Muhammad Hozien – http://www.muslimphilosophy.com/ip/klf.htm;

Malek Bennabi. (1991). Islam dalam Sejarah dan Masyarakat. (terjemahan). Ismail Hamid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

______________. (1994). “Problem Pemikiran Di Dunia Islam”. (terjemahan) dari “Mushkillat al Afkar al  Alam Islamy”. Dalam Membangun Dunia Baru Islam. Bandung: Mizan.

______________. (1994). “Unsur-Unsur Pembina Peradaban”. (terjemahan)dari “Syuruth An Nahdah”. Dalam Membangun Dunia Baru Islam. Bandung: Mizan.

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Ibn Khaldun Dan Pemerkasaan Budaya Dan Tamadun Dengan Merujuk Kepada “Al-Muqaddimah” , 2007 http://uthman-elmuhammady.blogspot.com/2007/08/ibn-khaldun-dan-pemerkasaan-budaya-dan.html

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Ibn Khaldun Dan Pemerkasaan Budaya Dan Tamadun Dengan Merujuk Kepada “Al-Muqaddimah”, Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia, 24 Jun 2020 https://omiw.com.my/Web/2020/06/24/ibn-khaldun-dan-pemerkasaan-budaya-dan-tamadun-dengan-merujuk-kepada-al-muqaddimah/

Mustapha Kamal Ahmad Kassim, Zahiah Haris @ Harith & Abdullah Yusof,  Pembangunan Modal Insan Dan Tamadun Islam Dari Perspektif Pendidikan Guru, Proceedings Of The 4th International Conference On Teacher Education; Join Conference Upi & Upsi Bandung, Indonesia, 8-10 November 2010, ms 38-48

Norazlan Hadi Yaacob , Aiza Maslan @ Baharudin Manusia Dan Perkembangan Peradaban: Beberapa Aspek Pemikiran Malek Bennabi Dan Ali Syariati , Journal of Human Capital Development, Vol. 7 No. 1 January – June 2014, ms 83-97

Norfarahani Binti Rosman, Mohd Shaukhi Bin Mohd Radzi. Ali Syariati: Pemikiran Dan Gagasannya Tentang Konsep Rausyanfikir, Vol. 5 No. 1 (2020)

Leave A Reply

Your email address will not be published.