Budaya ‘Hedonisme’ di negara kita bukanlah satu perkara yang asing. Malah, budaya ini seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan lebih-lebih lagi dalam lingkungan generasi muda bermula dengan zaman dangdut pada tahun 1980-an sehinggalah pelbagai hiburan yang wujud pada zaman ini.
Perkara ini menjadi lebih serius apabila hedonisme menjadikan jiwa muda fanatik dan taksub dengan hiburan dan artis yang mereka minati. Pada tahun 2015, negara kita telah digemparkan dengan sebuah kes di mana seorang gadis Melayu dipeluk artis Korea ketika menghadiri konsert.
Hal ini menggambarkan lemahnya jati diri generasi muda hari ini apabila sanggup menggadaikan prinsip seorang wanita demi meraikan artis yang mereka minati. Pada tahun 2017 pula, beberapa gadis Melayu menyertai hari berkabung kematian seorang artis korea di Sungai Klang yang mengundang pelbagai kecaman daripada rakyat Malaysia.
Apa itu Hendonisme?
Melihat kepada episod-episod hedonisme yang bermaharaja lela di tanah air ini justeru menggesa kita untuk memberi perhatian kepada beberapa topik utama yang strategik untuk dibincangkan. Pertama, takrif hedonisme dan aktor di sebalik pemikiran ini. Secara literalnya, hedonisme berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘hedone’ yang membawa maksud kesenangan.
Perkataan asal yang lain ialah ‘hedys’ yang membawa maksud manis atau menyenangkan. Daripada perkataan ini, kita dapat memahami bahawa hedonisme merupakan sebuah istilah yang merangkumi apa-apa yang membawa kepada kesenangan dan keseronokan.
Dari sudut psikologi, teori hedonis ini dikatakan cara yang boleh menghilangkan kesakitan dalam diri dan boleh memberikan suntikan motivasi. Dari sudut moral, teori hedonis (kesenangan) ini dianggap sebagai perkara yang bernilai dan sesuatu yang lain tidak akan dikira bernilai tanpa adanya kesenangan.
Hedonisme Menjadi Matlamat Hidup
Seorang ahli falsafah Inggeris, Jeremy Bentham telah menulis di dalam bukunya yang bertajuk An Introduction to the Principles of Moral and Legislation bahawa manusia ini dikuasai oleh dua anasir iaitu kesakitan dan kesenangan. Jadi, kedua-dua faktor inilah yang akan menentukan perjalanan dan pilihan hidup seorang manusia.
“Nature has placed mankind under the governance of two sovereign masters, pain, and pleasure. It is for them alone to point out what we ought to do, as well as to determine what we shall do” –Jeremy Bentham-
Perkataan ‘pleasure’ yang diisyaratkan oleh beliau membawa pelbagai makna seperti kepuasan, kegembiraan, kesenangan, kecintaan, dan kelegaan. Semua makna ini dirangkumkan secara umumnya di bawah teori hedonis yang membawa maksud kesenangan. Walau bagaimanapun, teori hedonis ini mempunyai pelbagai percanggahan idea antara ahli falsafah dunia.
Antara teori hedonis yang paling ekstrem dan paling awal diperkenalkan ialah teori hedonis hasil daripada idea Cyrenaics yang telah dinyatakan oleh Aristippus. Menurut idea ini, tujuan utama kehidupan adalah untuk menghidupkan keseronokan dan kesenangan.
Idea ini juga telah disokong oleh ahli falsafah Yunani iaitu Pratagoras dengan menyatakan bahawa pencarian ilmu hanyalah kesenangan yang sementara dan tidak menguntungkan untuk menjamin keseronokan masa hadapan. Beliau juga menekankan bahawa seni kehidupan yang sebenar ialah mengumpulkan kenikmatan sebanyak mungkin dalam setiap saat.
Hedonisme Menghakis Nilai Insan
Apabila kita melihat kembali pemikiran hedonis dan teori yang dibawa oleh ahli falsafah Barat, jelas sekali idea mereka ini bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Islam.
Secara umumnya, Islam juga meraikan keseronokan dan kesenangan dalam kehidupan. Malah, Islam menggalakkan umatnya untuk mencari kesenangan dunia tetapi dalam rangka yang dibenarkan syarak. Dalam Surah Al-Qasas ayat 77, Allah berfirman:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan“.
Imam Al-Ghazali dalam bukunya Al-Kimiya As-Saadah (Kimia kebahagiaan) menekankan empat formula kimia yang menjadi kunci kebahagiaan sebenar seorang Muslim iaitu mengenal diri sendiri, mengenal Allah, mengenal hakikat dunia dan mengenal hakikat akhirat.
Apabila seorang Muslim itu berjaya memahami empat formula kebahagiaan ini, kebahagiaan yang sebenar akan dapat dirasakan.
Mengembalikan Masyarakat Mencintai Ilmu
Berbalik kepada fenomena dan hakikat hedonis di Malaysia pada zaman kini, kita dapat melihat bahawa generasi muda lebih memilih untuk meneruskan kehidupan dengan keseronokan tanpa memikirkan corak dan hala tuju mereka sebagai pemangkin dalam membangunkan Islam seperti menguasai pelbagai disiplin ilmu yang strategik demi mengembalikan arena kegemilangan Islam.
Fenomena ini kita dapat lihat menerusi media sosial seperti Tik Tok dan Instagram. Oleh itu, racun ini dapat diubati dengan mengembalikan semula suasana keseronokan dalam menuntut ilmu melalui pelbagai cara dan medium agar generasi muda tertarik dan menjinakkan diri dalam medan ilmu.
Hal ini demikian kerana, melalui ilmu, generasi muda akan memahami konsep kesenangan yang sebenar melalui neraca Al-Quran dan As-Sunnah serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya hedonisme yang hanya berasaskan keseronokan hidup di dunia sahaja tanpa berpandukan neraca yang munasabah.
Pemikiran hedonisme ini perlu dibendung dan dikawal daripada terus meracuni generasi muda kerana generasi muda ini merupakan pimpinan negara masa hadapan serta menjadi pewaris dalam membina sebuah peradaban. Jika racun ini tidak dapat diubati, secara tidak langsung kita ibarat menggadaikan peradaban bangsa dan agama pada masa hadapan dengan membiarkan anak muda hari ini ditenggelamkan oleh arus agenda dan pemikiran musuh Islam.
Nadhratul Hana’ Binti Mohd Soberi
Ahli Khidir Institute iaitu sebuah Unit Kajian dan Informasi Pembina Malaysia