IR 4.0 di Universiti Menghakis Nilai Pendidikan Insaniah

0

Orientasi sistem pendidikan tinggi pada hari ini dinaungi oleh sistem Barat yang tidak memiliki asas yang jelas, serta tidak mampu melahirkan insan yang mengenal erti kewujudannya. Indikator yang diletakkan hanya diformulasikan berdasarkan keperluan semasa elit kapitalis global.

Kecenderungan sistem pendidikan tinggi hari ini yang lebih mengangkat nilai-nilai “commercialization” dilihat sebagai salah satu ancaman yang dapat menghakis nilai keinsanan dalam kalangan mahasiswa serta graduan. Situasi hari ini berubah, di mana fokus kebanyakan universiti hanya untuk memenuhi keperluan industri yang tertakluk kepada kehendak elit kapitalis global.

Walaupun kita tidak menafikan realiti krisis pengangguran dalam kalangan graduan lebih-lebih lagi pasca COVID-19 ini, namun seperkara yang perlu ditekankan ialah hal ini tidak sewajarnya menjadi agenda utama dalam membangunkan sistem pendidikan kita sehingga mengabaikan aspek utama pendidikan itu sendiri.

Semakin Jauh daripada Tujuan Ilmu

Situasi yang berlaku pada hari ini adalah aspek keilmuan yang menjadi teras insan, tidak lagi menjadi matlamat tertinggi yang perlu dicapai dalam kalangan penuntut ilmu. Pembentukan akhlak juga semakin diabaikan, di mana ini juga menyumbang kepada kerapuhan sistem asas yang menunjangi penubuhan universiti.

Commercialization yang berpunca daripada arus neo-liberalism juga telah menyebabkan universiti pada hari ini diperlakukan ibarat “syarikat” yang berfokuskan kepada “market-driven” dan tenggelam dalam arus kepesatan industri dan digital.

Hal ini jelas digambarkan dengan permasalahan yang disebutkan sebagai “academic plutocracy” di mana terdapat penyelidikan daripada pendidikan tinggi yang diiktiraf terbaik di dunia, dipergunakan oleh kuasa-kuasa kapitalis untuk mencapai matlamat kepentingan tersendiri sebagai pulangan kepada wang yang telah dilaburkan kepada universiti tertentu.

Barat juga mengakui kepincangan sistem pendidikan tingginya menerusi penulisan daripada Harry R. Lewis, mantan Dekan Universiti Harvard di dalam bukunya “Excellence Without A Soul: Does Liberal Education Have a Future” turut menerangkan tentang krisis yang dihadapi oleh universiti terkemuka dunia itu daripada segenap aspek bermula daripada konflik dalam kalangan pensyarah sehinggalah warga universiti keseluruhannya.

Pendidikan yang dipandu Ideologi Barat

Ilmu tidak lagi dilihat mempunyai kaitan dalam membangun nilai insaniah dalam jiwa manusia

Ironinya, saban tahun universiti-uiversiti terkemuka di dunia ini menerima pelbagai anugerah akademik serta kejayaan ranking namun mengapa intelektual yang dibangunkan tidak mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku pada hari ini?

Bahkan intelektual yang diangkat oleh mereka itu sendiri meruntuhkan pembangunan insaniah serta diperkotak-katikkan untuk kepentingan pihak tertentu. Pembangunan intelek yang hanya memfokuskan kepada aspek lahiriah semata-mata tidak akan mampu memberikan makna yang sebenar dalam kehidupan individu secara keseluruhannya. Pendidikan Tinggi di negara-negara Islam juga tidak pernah sepi daripada pelbagai krisis keilmuan, apabila turut dihambat dengan pelbagai pengaruh luaran dan juga dalaman.

Antaranya masalah peniruan dan replikasi serta penyelewengan daripada visi Islam yang komprehensif sebagaimana yang disebutkan oleh tokoh pemikir Islam kontemporari yang memperjuangkan gagasan Islamisasi ilmu iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman di dalam buku beliau, “Revitalizing Higher Education in the Muslim World: A Case Study of the International Islamic University Malaysia (IIUM)”.

Permasalahan yang berlaku ini memerlukan diagnosis terhadap punca yang lebih mendasar. Peniruan dan replikasi yang berlaku ini bukan semata-mata pengaruh Barat namun sebenarnya berpunca daripada kegagalan umat Islam sendiri dalam membangunkan budaya berfikir yang kritis.

Kembali kepada Memahami Falsafah Ilmu

Maka, hal ini menuntut kita untuk kembali melakukan introspeksi terhadap pembangunan aqal di dalam pendidikan tinggi pada hari ini. Aqal yang dibincangkan ini berbeza dengan takrifan Barat kerana ‘aqal dalam Epistemologi Islam lebih mendasar kerana ianya ialah hakikat diri insan yang juga dikenali sebagai ruh (roh), nafs (jiwa), qalb (hati) dan dhihn (minda).

Kita tidak dapat menafikan pelbagai usaha telah dilakukan untuk melahirkan para siswa dan siswazah yang berfikiran secara kritis namun ianya masih sempit dalam ruang lingkup melahirkan graduan yang bersifat kompetitif dan masih cenderung kepada nilai-nilai “commercialization”.Jika penawar yang dipreskripsikan terhadap permasalahan yang ada tidak sesuai, maka ianya akan menimbulkan konflik yang lain.

Oleh itu, fokus yang perlu diberikan ialah kepada pengotimuman aqal yang perlu didasari oleh Tauhid supaya akhirnya membawa insan itu mengenali Allah dan mampu menterjemahkan ilmu yang dimiliki melalui adab. Hal ini kerana, peranan utama institusi keilmuan sepatutnya adalah melahirkan para intelektual yang hidup jiwa dan akalnya, serta mampu menghidupkan manusia lain di sekelilingnya.

Orientasi sistem pendidikan tinggi pada hari ini dinaungi oleh sistem Barat yang tidak memiliki asas yang jelas, serta tidak mampu melahirkan insan yang mengenal erti kewujudannya. Indikator yang diletakkan hanya diformulasikan berdasarkan keperluan semasa elit kapitalis global.

Hal ini telah menyebabkan ilmu menjadi terpisah dengan keinsanan, lalu menyebabkan manusia hilang ruhnya serta jahil erti kewujudannya. Universiti yang wujud hari ini tidak ubah melainkan hanya sebuah bangunan yang dipenuhi dengan robot yang diprogramkan untuk kepentingan industri semata-mata.

Leave A Reply

Your email address will not be published.