Allah menyifatkan sikap dilaknat yahudi dengan مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ” mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar”. Sifat ini memberikan sebuah kefahaman bahawa Yahudi bukanlah sebuah bangsa semata-mata, tetapi adalah sebuah sifat kepada sesuatu manusia.
Sepertimana syaitan bukanlah merujuk kepada sebuah entiti jin yang dikategorikan secara taksonomi sebagai syaitan, tetapi merujuk kepada sifat “kesyaitanan” yang melawan segala arahan Allah SWT. Maka, sifat Yahudi mempunyai pelbagai perincian, diantaranya merubah dan menyeleweng “kalimah Allah” atau kalimah-kalimah di dalam kitab-kitab samawi kepada naratif yang memesongkan dan menyesatkan manusia.
Peranan Council of Nicea
Jika dilihat dalam sejarah Kristian, proses penyelewengan kebenaran wahyu yang benar pada asalnya itu berlaku dalam satu persidangan iaitu Council of Nicea. Melalui persidangan tersebut, mereka telah mengubah maksud Tuhan seterusnya membina konsep Triniti, perkara sama sedang berlaku atas keputusan mahkamah berkait kes kalimah Allah baru ini.
Disebalik Council of Nicea, tindakan dilakukan diketua Constantine bertujuan menstabilkan keadaan sosial ekonomi dan dalam situasi apabila Rom mula menerima pengaruh ajaran Nabi Isa. Maka Constantine yang merupakan seorang pragmatik mengambil keputusan untuk menyatukan agama pagan Romawi dengan ajaran Nabi Isa membentuk sebuah Agama baru.
Agama baru yang tidak menyembah Allah yang satu, tetapi agama yang menyembah tuhan yang tiga sepertimana penyelewengan sepanjang zaman berkaitan “the-triple deity”. Malah dengan keadaan Rom yang kerap mencipta tuhan yang baru (walaupun naratif Muraresku membawa kepada tuhan hanyalah simbol keinginan manusia), maka sekadar mencipta tuhan 3 adalah suatu yang bukanlah asing bagi Rom.
Penyelewengan Rom ini memuncak dengan kemasukan naratif Pantheisma, Apostheosis dan Gnostic oleh St Augustine of the Hippo yang memperhalusi konsep trinity, salvation, dan lain-lain. Seterusnya menasabkan kemuncak kristianiti kepada Tamadun Rom sehinggakan Syurga digambarkan dipenuhi “Roman pillar” dan manusia dan “tuhan” memakai pakaian-pakaian Rom di syurga.
Bertuhankan Rahib
Penyelewengan ini membenarkan sabda Allah bahawa mereka bertuhankan Rahib mereka (At-Taubah : 31) kerana Tuhan mereka didefinisikan oleh Rahib-Rahib mereka (bukan berdasarkan wahyu), seawal penubuhan Council of Nicea sehinggalah zaman Augustine, dan sehinggalah ke hari ini.
Maka tuhan mereka boleh berubah nama, berubah sifat, berubah kata-kata, berubah segalanya, selagi mana memenuhi satu syarat utama, mendapat restu Rahib untuk mengatakan sedemikian walaupun bercanggah dengan Injil.
Ini berbeza dengan agama-agama lain, dimana Tuhan merupakan disiplin ‘semantic’ yang tidak boleh diubah sesuka hati. Contohnya agama Yahudi, nama tuhan Yahweh digunapakai sejak beribu tahun dulu dan tidak berubah sehingga ke hari ini, kerana pada nama tersebut tersusunnya naratif yang jelas dan tidak boleh berubah. Begitu juga pada nama “Shiva, Ganesh” semua tidak berubah sejak beribu tahun. “Buddha” juga tidak diubah sejak beribu tahun. Malah keseluruhan nama-nama ini tidak berubah di setiap tempat.
Begitulah juga lafz Jalalah, Allah Subahanu Wata’ala, al-hayy, al-qayyum, tidak ada sekutu bagiNya.
Kesinambungan Penyelewengan Makna Kebenaran
Namun timbul persoalan apakah tujuan disebalik tindakan mereka di dalam Council of Nicea? apa yang mereka mahukan? Bagi memahami tujuan, kita boleh melihat pada kesan yang timbul daripadanya, maka persoalan yang lebih tepat perlu dilihat ialah “Apakah kesan perubahan ini?”
Asasnya, strategi thaghut (musuh Islam) seperti “kontekstualasi” dan “semantic infiltration” adalah pengembangan sifat Yahudi seperti dibahaskan di atas, bertujuan mencairkan keimanan daripada hakikat kebenaran dengan merubah maksud pada perkataan-perkataan tertentu.
Ini juga kita lihat berlaku di dunia hari ini dalam menyelewengkan umat Islam daripada hakikat makna-makna istilah. Contohnya pasca 11 September 2001, maka perkataan “Jihad” yang mempunyai nilai perjuangan yang tinggi, dari membina hati yang kental, sehingga mengorbankan jiwa untuk negara dan agama, ditukar menjadi naratif “terorism”.
Akhirnya generasi menjadi hilang kefahaman dan keinginan berjihad, walaupun hati yang sanggup berkorban jiwa untuk negara adalah suatu yang terpuji. Mereka melihat keduanya ini secara berasingan sekularisme. Maka lahirlah generasi tidak mampu menhubungkan erti jihad dengan pengorbanan kepada keluarga mahupun negara.
Begitu juga yang berlaku kepada perkataan “Insaniyah”, asasnya dari sudut Islam ia membawa kepada hakikat kemanusiaan sejati yang bertujuan membangun potensi insaniyah secara sempurna dan seimbang. Namun “Insaniyah” dicetekkan menjadi “hak asasi manusia” sedangkan maksud sebenar membawa kepada ketamadunan manusia yang tinggi.
Mengapa Mereka ingin Merubah Makna Allah?
Jadi dalam isu ini usaha yang ingin dilakukan adalah merubah perkataan terpenting di dalam hidup seorang manusia, Allah… Allah… Allah.
Mereka mahukan supaya perkataan Allahdiletakkan sebagai “terjemahan bahasa” semata dengan maksud tuhan. Seolah semua “tuhan” boleh menggunakan perkataan Allah. Secara sekali lalu pun sudah dilihat pelik bagaimana mereka yang anti dengan bahasa arab tiba-tiba mereka ingin menggunakan istilah Allah dengan disandarkan pada bahasa arab. Hipokrasi kemunafikan kristianisasi yang cukup jelas.
Tujuan akhir pencipta nafsu kesesatan ini sama, ingin menghilangkan tuhan sebenar (Allah) di dalam kehidupan manusia, dengan meletakkan seolah Tuhan ini boleh dibuat main, nak ubah-ubah sesuka hati, nak guna sesuka hati, sehingga nak buang sesuka hati.
Perubahan perkataan Allah dalam hal ini juga membawa kepada naratif triniti membawa kepada naratif Penyatuan Agama Samawi sepertimana yang di cadangkan di Abu Dhabi dengan pembinaan Abrahamic Family House yang menempatkan Masjid, Gereja dan Sinagog di satu tempat, seolah menyembah agama yang satu.
Hakikatnya bukanlah agama satu yang tercipta, tetapi akhirnya Islam yang akan diselewengkan sepertimana penyelewengan terhadap agama Yahudi dan Kristian oleh paderi dan pendeta mereka.
Tujuan ialah Menyelewengkan Islam dengan Pluaralisme
Secara latar nampak seolah membawa kepada kesatuan ‘insan’, tetapi hasilnya adalah pengukuhan ‘agama sivil’ bertunjangkan pluralisma. Islam yang dianuti adalah Islam yang mengiktiraf Syirik, dan melihat semua agama adalah sama, seperti kata-kata Nucholish Majid “semua ibarat berada satu roda, yang berputar pada paksi yang satu (pluralisma dan hikmah kholidah)”.
Bukanlah tujuan utama mereka ingin mengkristiankan muslimin dengan memurtadkan muslimin, itu hanyalah tujuan kecil. Tujuan yang lebih besar adalah menyamakan aqidah Islam dengan aqidah thaghut yang menyekututkan Allah, seolah semua tuhan adalah sama. Yang berbeza hanyalah sekadar kaedah penerimaan, sejarah, bahasa dan budaya.
Hasil daripada proses ini, seorang muslim akan berpegang bahawa tidak adil mengatakan aqidah agama lain salah, dan menyatakan ianya hanyalah perbezaan budaya. Malah ajaran Islam hanyalah ritual kebudayaan yang tidak membawa erti selain daripada ritual mencari ketenangan, seolah solat 5 waktu sama sahaja seperti menyanyi di gereka.
Membaca dan mengabil inspirasi daripada Al-Quran sama seperti membaca dan mengambil inspirasi dari pemuka atheis, new age religion, buddha, confucious dan lain-lain, malah seolah mengerjakan Haji sama seperti ke Vatican City!
Matlamat Akhir Mentuhankan Manusia dan Memanusiakan Tuhan
Bibit-bibit yang menunjukkan sedemikian cukup tersusun rapi naratifnya secara bertubi-tubi kepada umat Islam, walaupun pada pandangan penulis “pluralisma” di atas hanyalah permukaan penyelewengan. Di dalam akarnya mempunyai perkaitan “ontological proximity” – kewujudan yang mempunyai nilai yang sama di antara manusia dan tuhan, seolah tuhan hanyalah manusia yang berevolusi, atau manusia yang mencapai ilmu tertentu.
Di akhirnya, manusia mencari punca dan ilmu untuk menjadi tuhan. Mereka bisa terfikir, apa salahnya sedangkan “tuhan” ini pun kita boleh tukar-tukar nama sesuka hati, dan berbincang mahu gambarkannya bagaimana, apa salahnya meyakini diri boleh menjadi tuhan?
Seterusnya mencapai “al-khulus” yakni “immortality”, dimana para saintis neuro dan IT berusaha mendigitalkan manusia sehingga boleh memindahkan manusia menjadi digital sepenuhnya (termasuk ‘kesedaran’/conscousness). Dengan fizik apabila mengetahui partikel terkecil di dalam alam untuk apa yang membezakan manusia dengan makhluk lain, serta bagaimanakah untuk menjadi “immortal” berdasarkan kefahaman partikel yang ada.
Maka begitulah impian menjadi tuhan, sepertimana Namrud tatkala berdebat dengan Nabi Ibrahim. Namrud cukup berani mengaku tuhan lantaran kaum sebelumnya berani mengubah maksud Tuhan kepada orang soleh yang meninggal dunia (kisah kaum Nabi Nuh).
Maka selain kristianisasi perkara yang lebih saya takuti adalah selepas ini anak-anak muda di Malaysia berani mendakwa diri mereka tuhan. Samada secara pengakuan mahupun dengan segala hak kebebasan dan kesamarataan mutlak agama yang dipinta sepertimana Council of Nicea menyamaratakan Nabi Isa dengan Allah maha Esa.
Wallahua’alam.