Ke Mana Politik Hari Ini Membawa Manusia

0

Politik di Malaysia semakin berubah wajah. Suasana lazim apabila hampir pilihan raya, ramai ahli politik semakin memunculkan diri dan menabur janji kepada masyarakat . Hal ini tidak lain hanya bertujuan untuk mengaut undi yang banyak. Dalam sisi yang lain, masyarakat pula sentiasa cenderung untuk mempercayai janji pimpinan tersebut tanpa mengambil pelajaran dari kes-kes lalu.

Proses pemilihan pemimpin sebegini yang sedia ada hakikatnya tidak begitu menjamin pemilihan pemimpin yang benar-benar layak. Nilai keteladanan yang sepatutnya ditonjolkan melalui kepimpinan seorang pemerintah negara tidak dapat dipantulkan.

Ada yang mengatakan ini sekadar permasalahan pada kepimpinan, tetapi saya melihat ia lebih mendasar bukan sekadar pada sistem tetapi juga pada falsafah yang melatarinya. Falsafah politik barat sedia ada ini mustahil dapat membawa masyarakat kepada erti insaniah yang hakiki.

Pembinaan politik yang beracuankan kepada politik Barat yang menekankan kepada politik kotor yang disebut sebagai ‘realpolitik’ seperti rasuah, serangan kepada individu tertentu demi mendapatkan kuasa. Budaya ini lahir falsafah Machiavelli yang meletakkan “the end justifies the means”. Sekaligus menunjukkan bukti kekuatan atau kuasa ini lahir daripada jalan yang salah. Ini menyebabkan lahirnya ahli politik yang tidak matang dan tidak mempunyai pendirian.

Rasuah termasuk dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah terhadap semua yang terlibat.

Kesemua idea yang cuba diimplimentasikan dari falsafah Yunani, monarki, timokrasi, oligarki, demokrasi and tirani yang kononnya berbeza dan membawa kemajuan, hakikatnya hanya berselindung di sebalik penipuan ketamakan kuasa. Dasarnya, falsafah ini hanya bersifat memenuhi kehendak dan keinginan kelompok manusia tertentu tanpa memikirkan kemaslahatan sesebuah masyarakat. Ini dapat dilihat bagaimana walaupun berbezanya sistem tetapi kelas atau kasta masyarakat masih terjadi.

Falsafah politik moden yang cuba diamalkan berdasarkan idea-idea pemikir Barat seperti Marx dan Jean Jacques Rousseau masih gagal memenuhi keperluan insaniah bahkan ia mengekalkan perhambaan sesama manusia. Realitinya, falsafah realpolitik ini masih wujud di ceruk-ceruk politik yang memaksa manusia untuk tunduk kepada manusia. Kuasa itu dilihat sekadar sebagai hak mutlak penguasa jauh daripada erti tanggungjawab (al-amanah).

Politik mengikut kaca mata Islam adalah satu sistem yang lahir dari epistemologi ilmu sebenar yang akhirnya mendefinisikan secara tepat erti kuasa, kepimpinan serta rakyat. Nilai insaniyyah menjadi satu nilai penting yang dipelihara untuk menjamin kebahagiaan (As-Saadah) di dunia dan akhirat.

Dalam sistem politik Islam, setiap manusia diberi tanggungjawab (Al-Masuliyyah) untuk memilih pemimpin yang berwibawa selaras dengan syariat Islam, disamping memfokuskan tanggungjawab pemimpin kepada masyarakat dibawah pimpinannya dalam kerangka maslahat. Maka hakikatnya, hanya melalui politik Islam yang mampu membebaskan manusia dari cengkaman pihak tertentu dan menghapuskan sebarang bentuk kezaliman membawa kepada kemaslahatan dan erti kebaikan yang sebenar.

Leave A Reply

Your email address will not be published.