Ia bukan sekadar persaingan membangun ekonomi dan teknologi kehidupan, tetapi secara falsafahnya adalah persaingan menentukan hala tuju spesis manusia di masa hadapan, dan bagaimana seharusnya kemanusiaan itu dicipta dan didefinisi semula
Apakah titik akhir bagi sejarah dunia?
Adakah masa depan manusia mampu dikawal sepenuhnya oleh manusia sendiri?
Adakah kematian itu sendiri, akhirnya boleh ditentukan oleh manusia?
Ideologi Berakar Syaitani
Persoalan tentang pengakhiran kehidupan adalah satu misteri yang cuba dirungkai oleh seluruh aliran kekufuran sepanjang zaman, seperti yang diungkapkan oleh Imam Al-Ghazali dalam sebuah karya eskatologi, Al-Durrah Al-Fakhirah.
Menurut beliau, usaha menilai dan memahami kematian dan pengakhiran umur dilakukan oleh manusia-manusia yang hidup dalam kekufuran, semata-mata demi mencari jalan memintas dan mengubah penutup hidup itu daripada menjadi satu realiti yang pasti berlaku.
Sepanjang sejarah kewujudan manusia, kita akan dapati teori keabadian menjadi latar kesesatan dalam kehidupan manusia, dalam bentuknya yang pelbagai dan berubah-ubah. Bermula dari bisikan Iblis terhadap teori keabadian kepada Adam a.s di pohon Khuldi ; Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon khuldi ( Thaha – 120 )
Imam Tabari menafsirkan ayat tersebut ; “..Syaitan berkata kepada Adam a.s ; Aku boleh tunjukkan kepada engkau (Adam) ke atas pohon yang jika engkau makannya maka engkau akan abadi dan tidak akan mati..” Dalam konteks falsafah moden harini, ‘bisikan Iblis’ ini digagaskan dalam falsafah Post-humanism atau Transhumanism.
Mempertuhan Manusia Matlamat Akhir Post-Humanism
Francesca Ferrando membahagikan idea post-humanism kepada beberapa pecahan yang mengandungi elemen ; pendefinisian semula erti kemanusiaan, pengubahsuaian ketuaan sebagai penyakit yang boleh diubati kearah mencapai taraf keabadian, dominasi peranan teknologi artificial intelligence, dan kepupusan humanism yang melahirkan superhuman atau transhuman, yakni evolusi kemanusiaan dalam keupayaan dan susuk tubuh yang jauh sekali berbeza dengan manusia biasa.
Apabila kita melihat perkembangan barat harini secara satu lapis, apa yang kita dapati adalah pencapaian luar biasa dalam sains teknologi. Big Data, adalah salah satu tapak asas yang menyediakan ruang lingkup pembangunan teknologi artificial intelligence.
Syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Tesla, Facebook antara yang giat bersaing membangunkan prototaip kearah kesempurnaan teknologi data, bahkan China sendiri telah melakar visinya sebagai peneraju utama dunia dalam teknologi artificial intelligence pada tahun 2030. Pada awal Disember baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan penghasilan quantum computer oleh sekumpulan saintis China, yang mampu beroperasi pada tahap kelajuan 10 billion kali ganda berbanding super computer terlaju di dunia yang dihasilkan oleh Google pada tahun 2019.
Bagaimana kita melihat perkembangan China-barat dan persaingan teknologi dunia harini, secara lapisan yang lebih mendalam?
Ia bukan sekadar persaingan membangun ekonomi dan teknologi kehidupan, tetapi secara falsafahnya adalah persaingan menentukan hala tuju spesis manusia di masa hadapan, dan bagaimana seharusnya kemanusiaan itu dicipta dan didefinisi semula. Ini memberikan bayangan manusia menjadi tuhan kepada dirinya sendiri, yang diungkapkan sebagai Homo- Deus oleh Yuval Noah Harari, seorang ahli falsafah Yahudi.
Keabadian Akhirat vs Keabadian Dunia
Justeru, perbahasan tentang masa depan dalam menentukan pandangan alam (worldview) dan polisi dunia terhadap pergerakan kehidupan manusia menjadi salah satu titik pertembungan tamadun antara post-humanism dan aqidah Islam. Post-human cuba membawa manusia ke arah keabadian manusia di dunia, manakala aqidah Islam membawa manusia kearah kematian dan kefana’an dunia dan keabadian di akhirat.
Hakikatnya peradaban manusia yang dibangunkan dari dasar aqidah mampu membawa manusia ke mercu kesempurnaan hidup dan intelektual manusia, tanpa terjerumus dalam kekaburan cara fikir dan tasawwwur yang menafikan realiti dan asas kebenaran yang muktamad – yakni kematian.
“ Katakanlah : Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”. ( Al Jumaat : 8)
Kematian adalah satu realiti yang cuba dinafikan oleh kerangka falsafah post-humanism dan transhuman, yang menjadikannya sebagai satu fantasi. Mereka cuba mengubah hakikat kematian itu sebagai satu sekadar penyakit disease, yang boleh diubati. Umpama usaha mengubah realiti pagi sebagai malam, fenomena ini dilihat sebagai satu bencana kepada daya intelektual manusia.
Keimanan manusia terhadap kewujudan al-maut, alam barzakh, alam akhirat adalah satu kerangka epistemology yang memberikan definisi dan makna kepada kewujudan manusia dan alam kehidupan itu sendiri.
Pendefinisian aqidah terhadap kehidupan dari rangka eskatologi ini, membangunkan satu hala tuju peradaban manusia yang membina teknologi dan memanfaatkan sumber alam, berdasarkan keperluan dan nilai yang benar-benar secara pasti diperlukan oleh manusia. Bukan lagi secara sangkaan (dzon) apatalah lagi secara wahm yang menafikan realiti dan hakikat kehidupan, sekaligus meruntuhkan epistemologi kebenaran itu sendiri.
“ The greatest prediction of our future is something what we called death. And, only with our belief about the nature of death, we could predict it. “