Kembalikan Hiburan Islami

0

Budaya hedonisme di Malaysia bukanlah satu perkara yang asing lagi. Bahkan seluruh dunia sekarang sedang tenggelam di dalam budaya ini. Kesan terhadap peresapan budaya ini kepada anak-anak muda kita adalah amat merisaukan. Ia bukan sahaja telah merosakkan akhlak mereka, malah turut mengajak kepada cara pemikiran sonsang lagi menyesatkan.

Baru-baru ini, Malaysia ‘diserang’ oleh sekumpulan pemuzik daripada UK, The 1975, yang mengecam negara Malaysia kerana mengamalkan undang-undang Islam semasa persembahan The Good Vibes. Penyanyi utama kumpulan tersebut, Matty Healy turut ‘mencabar’ pendirian umat Islam dengan tindakannya, bercumbu sesama jantina di atas pentas. Ini jelas merupakan cubaan provokasi mereka terhadap masyarakat konservatif muslim di Malaysia.

Budaya hedonisme yang diusung oleh kumpulan The 1975 dan seumpamanya bukan sahaja mencabar nilai-nilai Islam, malah juga menjejaskan generasi muda kita yang mudah terpengaruh. Menurut beberapa kajian, budaya hedonisme ini boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif kepada anak-anak muda, seperti berbelanja secara berlebihan, mengabaikan tanggungjawab, melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang tidak sihat, dan kurang pegangan agama. Kita perlu bersikap tegas dan berwaspada terhadap pengaruh tidak sihat ini yang boleh merosakkan masa depan negara.

Insiden ini menimbulkan beberapa persoalan kepada kita. Adakah masyarakat hari ini sudah ketandusan hiburan yang mengangkat nilai & budi pekerti insan? Mengapa anak muda kita lebih cenderung kepada hiburan-hiburan barat yang melampaui batas? Bagaimana hiburan barat ini merosakkan pemikiran anak muda kita?

Aulia Rahman, salah seorang Felo Kanan PEMIKIR berpendapat, secara tidak sedar, hiburan barat ini membawa mesej-mesej songsang seperti atheism, pro-LGBT dan free-thinking. Ia secara halus mempengaruhi cara anak-anak muda berfikir. Pemikiran ini meletakkan akal & pemikiran manusia lebih tinggi berbanding ilmu agama & wahyu. Secara langsung, mengajak anak-anak muda menolak ajaran Islam & mengambil pendapat peribadi individu sebagai suatu hak (kebenaran).

Ustaz Asyraf berpendapat, sudah tiba masanya untuk anak-anak seni di Malaysia ini berkarya untuk mengangkat kebudayaan Melayu Islam yang sebenar, sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan hiburan Islami pada abad 90-an, dimana masyarakat dikenalkan dengan asatizah nasyid seperti Raihan, Rabbani, In-Team, Hijjaz dan sebagainya. Perkara ini harus diambil berat oleh semua pihak, agar masa depan anak-anak kita terlindung daripada pemikiran dan ideologi sonsang yang boleh merosakkan masyarakat kita.

Selain daripada isu 1975, panel-panel turut membincangkan isu tentang kenyataan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Malaysia bukan negara sekular, mahupun Islam sepenuhnya, sebaliknya adalah campuran dua konsep tersebut.

Menurut Aulia Rahman, perdana menteri seharusnya lebih tegas dalam penakrifan status negara Malaysia sebagai negara Islam kerana ia jelas termaktub di dalam perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya. Katanya lagi, apabila status Malaysia tidak jelas, ia akan menimbulkan kekeliruan di dalam pengurusan sistem kerajaan Malaysia, sekaligus, memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk mengeksploitasi ‘loop-hole’ untuk kepentingan masing-masing yang mungkin bertentangan dengan nilai dan adat negara kita.

Soroti kupasan-kupasan isu semasa dengan lebih mendalam dalam episode terbaru Podcast LensaFikir yang bertajuk “1975, Malaysia Bukan Negara Sekular, Sweden Bakar Quran, Oppenheimer” di sini https://youtu.be/1ZLFhiSGlZI

————————————

MENJUNJUNG ILMU, MEMBANGUN PERADABAN 

(Diskusi seperti ini adalah usaha PEMIKIR bagi mengarus perdana ‘Wacana Pemikiran Peradaban Baharu’ dikalangan ilmuwan dan awam. Layari https://pemikir.com.my untuk maklumat lanjut)

Leave A Reply

Your email address will not be published.