Baru-baru ini beberapa negeri di negara kita dilanda bencana banjir besar yang banyak memberi mudarat kepada ramai manusia. Lebih mengejutkan selepas diselidiki punca berlakunya bencana tersebut adalah akibat pembalakan serta kehancuran alam yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri. Ketamakan sebahagian manusia akhirnya telah memberi mudarat pada seluruh manusia lainnya.
Banyak peristiwa yang berlaku dalam tamadun manusia hari ini seperti banjir, tanah runtuh, kepanasan melampau, kebakaran hutan dan lain-lain pada hari ini kita sangka sekadar bencana alam, tetapi sebenarnya ianya adalah tanda kemurkaan Allah SWT terhadap sikap angkuh sombong kita. Terus meratah dan mengaut segala hasil bumi ini hingga kita lupa bahawa kita hanyalah “penumpang kepada rumah sewa ini”.
Falsafah Alam Barat Antara Dua Ekstrim
Sikap keji manusia yang menghancurkan alam ini hakikatnya lahir daripada falsafah barat. Ibrahim Kalin menyebut pandangan barat terhadap alam adalah antara dua kutub ekstrim. Sama ada memandang bumi ini kecil tidak bernilai pada perspektif kewujudan alam semesta yang luas sehingga apa yang kerosakan manusia selama ini sebenarnya hanyalah titik kecil tidak mempengarungi alam pun.
Persepektif ini disebut oleh ahli kosmologi barat terkenal Carl Sagan bahawa bumi ini hanyalah a pale blue dot. Kehancuran alam bukanlah pengakhiran untuk manusia pon pada perspektif ruang angkasa yang luas. Dari sini lahir teori berhijarah ke planet lain, peningkatan tahap tamadun manusia (Kardashev scale) yang kelak akan mengabaikan bumi ini. Bumi bagi mereka langsung tidak mempunyai nilai dan tanggungjawab di sisi manusia.
Sudut pandang ekstrim kedua pula yang disebut sebagai antroposentrisme atau human supremacy. Ia adalah sebuah kepercayaan barat bahawa manusia adalah paksi atau entiti paling penting pada alam ini. Maka manusia berhak menentukan nilai alam ini lalu melakukan apa sahaja terhadap bumi ini kerana mereka mempunyai hak milik penuh terhadapnya.
Alam ini dilihat seperti makanan yang berhak diratah demi memuaskan hawa nafsunya yang tamak. Akibat mereka meletakkan paksi kebenaran itu hawa nafsu lalu binasalah alam ini. Barat sendiri mengiktiraf inilah punca kepada kebinasaan alam ini: The biggest enemy we face is anthropocentrism (Eric Pianka). Sedangkan Allah sudah dahulu lagi memberi amaran akan kehancuran ini:
Dan seandainya kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi, dan semua yang ada di dalamnya. Bahkan Kami telah memberikan peringatan kepada mereka, tetapi mereka berpaling dari peringatan itu. (Surah al-Mukminun: 71)
Mereka juga sering gambarkan kehancuran ini dalam filem-filem mereka tentang masa hadapan (eskatologi) membayangkan mereka sedar bahawa falsafah mereka hari ini sedang membawa alam kepada kebinasaan.
Khilafah Paksi Falsafah Alam Menurut Islam
Berbeza dengan sisi pandang Islam yang jelas dan berpaksikan kebenaran (al-haq), kewujudan kita atas muka bumi ini adalah berasaskan konsep khalifah. Iaitu dutaNya yang dihantar ke bumi dengan tugasan untuk mengurus tadbir alam ini, bukan sekadar mengurus manusia sahaja tetapi lebih daripada itu meliputi segala perkara yang berkait dengan bumi ini.
Benar kefahaman Islam mengiktiraf manusia sebagai paksi kepada alam ini tetapi ia bukanlah membawa maksud bebas melakukannya berdasarkan hawa nafsunya. Manusia adalah “pemegang amanah” dengan erti alam ini hendak diurus tadbir keseluruhannya berlandaskan konsep al-imarah (memakmurkan) dan al-islah (menyejahterakan) iaitu membangunkannya agar selari dengan kehendak Tuhan Pemilik Mutlak Kerajaan Langit dan Bumi.
Diawal surah Al-Baqarah, Allah SWT menceritakan bagaimana antara perbezaan utama sifat bagi seorang mukmin yang benar keimanannya dan juga orang yang mengingkari perintah Allah SWT adalah antara memelihara atau memusnahkan alam ini.
Dan apabila dikatakan kepada mereka (orang kafir): Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. (11) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah 11-12)
Memelihara alam sekitar dalam kefahaman Islam adalah suatu perkara yang sudah lama sebati. Bahkan ketika dalam peperangan pun iaitu pertempuran antara hidup dan mati, Rasulullah SAW sendiri bersikap tegas antaranya soal larangan memotong atau mencabut tumbuhan sesuka hati. Termasuk juga pantang larang ketika berihram, polisi membangunkan tanah pada zaman Khalifah Umar ra dan banyak perkara lain lagi.
Hinggakan apabila kiamat sedang terjadi pun, Islam masih melihat soal memelihara alam sekitar ini antara ibadat yang terutama ketika itu seperti yang disebut dalam hadis Nabi SAW.
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya (al-A’raf:56)
Imam Qurtubi menyebut bahawa Ad-Dohak ra (sahabat nabi SAW) menyebut berkenaan ayat ini: Ianya adalah satu larangan jelas untuk tidak boleh memusnahkan alam ini sesuka hati. Maka tidak boleh dia mengotorkan air atau memotong pokok rimbun kerana ianya adalah satu dhoror
Hanya Umat Tauhid Mampu Menjamin Kelesatarian Alam
Kita selalu sebut dalam ayat quran ada menyebut bahawa sesiapa yang membunuh satu jiwa maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia tetapi sebenarnya dalam ayat itu menyebut perumpamaan itu antara dua perbuatan yang buruk: iaitu samada membunuh manusia atau memusnahkan alam ini. Kedua perbuatan ini tiada beza secara hakikatnya!
kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya (al-Maidah : 32)
Jelas dan kukuhnya tasawwur hubungan manusia dan alam ini menunjukkan hanya umat Tauhid sahaja layak mentadbir alam ini. Falsafah barat bukan sahaja akan membawa kebinasaan pada diri mereka, tetapi seluruh manusia dan alam ini kesemuanya.
Menyelesaikan masalah ini bukanlah dengan menambah hukuman berat, tetapi merubah paksi akar pandangan kehidupan manusia hari ini. Disinilah hanya peradaban Islam sahaja yang dapat menyelamatkan (savior) umat manusia daripada lembah kebinasaan yang sedang dipandu oleh tamadun barat hari ini.
Yang tinggal hanyalah persoalan bersediakan kita memimpin alam ini?