Kenapa Politik Islam Berdiri Atas Syaukah?

0

Tunjang kekuatan sesebuah negara atau kerajaan bergantung kepada kekuatan institusi kepimpinan atau pemimpin utamanya. Sementara para pemimpin itu kuat, adalah merujuk kepada pihak yang mengangkat atau yang berada di belakang pemimpin tersebut. Tulisan ini bertujuan untuk merungkai maksud kekuatan yang akan menunjukkan tahap kuasa sesebuah kerajaan atau dalam bahasa politik Islam disebut “syaukah”.

SYAUKAH DALAM ISLAM

Di dalam surah al-Anfal ayat 7,  istilah ‘syaukah’ digunakan dengan maksud pasukan tentera yang lengkap bersenjata. Al-Qurtubi menafsirkan al-Syaukah sebagai senjata, iaitu merujuk kepada pasukan tentera yang lengkap bersenjata yang bersedia untuk berperang. Menurut Ibn Mandhur (tt) pula, syaukah bermaksud kuat dan ketajaman senjata. Dapat dilihat di sini bahawa istilah syaukah membawa konotasi yang bersifat fizikal seperti senjata dan ketenteraan.

Al-Qurtubi menafsirkan al-Syaukah sebagai senjata, iaitu merujuk kepada pasukan tentera yang lengkap bersenjata yang bersedia untuk berperang.

Mustafa al-Bugha dan lain-lain ( 1998 ) menyatakan bahawa syarat berketurunan Quraisy yang diletakkan oleh para ulama’ fiqh semisal Al Mawardi dalam pemilihan calon imam/khalifah adalah dasar kepada konsep syaukah.

Menurut Ibn Khaldun, syarat berketurunan Quraisy ini tidak sepatutnya difahami secara literal sekadar senjata dan kuasa semata-mata, tetapi boleh diluaskan maksudnya sebagai kekuatan, pengaruh dan sokongan yang perlu ada bagi seseorang calon imam/khalifah. Kekuatan seorang imam/khalifah itu diukur dengan menggunakan konsep ‘asabiyyah’, yang merujuk kepada kekuatan pengaruh pemimpin dalam kalangan puak dan bangsanya atau akar umbi yang berada di sekelilingnya.

Abd al-Wahhab al-Khalaf ( 1987 ) menghuraikan makna berketurunan Quraisy itu bahawa pemimpin mesti dari kalangan mereka yang mempunyai kekuatan akar umbi dan sokongan yang dominan di satu-satu tempat. Ini bertepatan dengan lafaz hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin itu dari kalangan Quraisy”( Ahmad, 129/3), di mana ia merujuk kepada kekuatan di kalangan orang Arab pada ketika itu yang didominasi oleh bangsa Quraisy. Keturunan Quraisy disyaratkan oleh ulama’ kerana kekuatan dan kekebalan yang dimiliki oleh bangsa Quraisy di mana mereka akan menjadi rujukan oleh pimpinan dalam urusan berkait pelaksanaan tugas dan pengukuhan kuasa.

Merujuk kepada analisis yang dibuat, maksud syaukah pada asalnya digunakan untuk menunjukkan kekuatan persenjataan atau tentera yang menyokong seseorang pemimpin sahaja. Namun para sarjana Islam seperti al-Mawardi dan Ibn Khaldun telah meluaskan maksud tersebut, menjadi satu konsep yang lebih menyeluruh atas dasar keperluan dalam pelantikan seseorang ketua negara (Imam/khalifah) kepada semua aspek kekuatan seperti pengaruh dan dominasi yang mesti dimiliki, seperti kekuatan ketenteraan dari segi bilangan dan persenjataan, kekuatan akar umbi dan penyokong, kekuatan pakatan dengan negara-negara kuat, kekuatan perisikan dalaman dan luaran.

SYAUKAH DALAM MENJAMIN KESTABILAN POLITIK

Al-Juwaini memberikan maksud syaukah sebagai kekuatan yang tidak sempurna seperti hegemoni yang bersifat mutlak dan global, tetapi syaukah lebih mirip kepada dominasi di mana ia bermaksud kekuatan pemimpin yang dilantik mampu bertahan dan mengalahkan musuh apabila berlaku pemberontakan dan penentangan, demi memastikan jaminan kestabilan dan keselamatan awam dan menghindarkan umat Islam daripada situasi huru hara dan pertumpahan darah yang melata.

Konsep syaukah menjadi indikator kepada keutuhan dan kekuatan seorang pemimpin dan institusi politik dalam sebuah negara. Ia juga merupakan paksi kepada keberlangsungan sesebuah negara, atau dengan kata lain konsep syaukah berfungsi sebagai dasar dalam membina sebuah negara stabil dan unggul.

Ini adalah apa yang cuba dipraktikkan oleh sistem demokrasi moden di mana dominasi dizahirkan melalui majoriti undi yang diperolehi oleh calon dan parti yang bertanding. Persoalan yang timbul, adakah peti undi dapat mewakili keseluruhan konsep syaukah yang dikemukakan oleh sarjana Islam?

Adakah peti undi dapat mewakili keseluruhan konsep syaukah yang dikemukakan oleh sarjana Islam?

Jika kita merujuk kepada realiti dunia moden hari ini, konsep syaukah ini lebih luas daripada sekadar majoriti pilihanraya. Syaukah meliputi pelbagai aspek seperti pengaruh dan wewenang politik, kuasa ekonomi, penguasaan sains dan teknologi, pertahanan dan keselamatan daripada ancaman musuh luar dan dalam serta lain-lain aspek. Sebab itu kita dapat melihat fenomena parti yang memenangi pilihanraya, namun dilihat tidak berkuasa dan sering tunduk kepada desakan pihak luar dan dalam ketika membuat polisi.

Apabila pemimpin yang dipilih mempunyai syaukah yang sepatutnya, maka ia akan menjamin kestabilan sesebuah negara. Rakyat akan mentaati pemerintah kerana mereka layak diikuti serta mempunyai dominasi yang kukuh. Keseimbangan politik akan terjamin kerana syaukah dimiliki mutlak oleh pemerintah dan tidak dikongsi oleh pihak lain yang boleh menggangu gugat keamananan dan kedaulatan negara,

KESIMPULAN

 Syaukah memainkan peranan yang penting bagi memastikan kekuatan sistem kepimpinan negara untuk mentadbir kehidupan manusia. Konsep syaukah ini wajar dijadikan medium bagi menjamin kestabilan negara dan dalam masa yang sama analisis semasa senario politik perlu dilakukan untuk melihat realiti politik secara keseluruhan agar model baharu peradaban politik dapat dikenal pasti dan dibangunkan.

Rushdan A. H., Kamarudin  A. M, Azmi M. N., Zulkefli E, Razlan, Ahmad Nu’man M., Muhammad Faysal T., Norhayati A. S. dan Hidayah A. A

Felo Kanan PEMIKIR

RUJUKAN

Al-Quran al-Kareem

Al-Qurtubiy, al-Imam Abu Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansariy.(1988 ), al-Jami’ Li ahkaam al-Quran, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, Lubnan. ( buku )

Muslim, Shahih

Ahmad, musnad.

Ibn Mandhur, ( tt ) Lisan al-Arab. Dar al-Fikr, Beirut. ( buku )

Al-Maawardiyy, Abi al-Hasan Ali ibn Muhammad bin Habib, ( 1989 ) al-Ahkaam al-Sultaniyyah wa al-Wilayah al-Diiniyyah, Maktabah Dar Ibn Qutaibah, Kuwait. ( buku )

Al-Bugha, Mustafa, al-Khinn, Mustafa, al-Syarbajiy, ( 1998 ) al-Fiqh al-Manhajiy ‘la Mazhab al-Imam al-Syafiey, Dar al-Qalam, Damsyeq. ( buku )

Khalaf, Abd al-Wahhab. ( 1987 ) al-Siyasah Syariyyah. Muassasah al-Risalah. Beirut. ( buku )

Mohd Rosli, R. Badhrulhisham A.A, Mohd HaziziA.R, Zamani, I., Muhammad Syamil.M.S., Hamidi, A. H., Kamaruddin, K., Mohd Tahir, H., Abd AzizS., Abdul Rahman, I., Asmadi, A. S., Muhammad Irfan, M. S., Qamarul Nazrin, H., Falsafah Peradaban Politik Islam, Tidak diterbitkan.2021.

Al-Najjar, Abd al-Majid, ( 2015 ) Muqarabaat fi Qiraat al-Turaath, al-Daar al_Malikiyyah liTaba’ah wa al-Nasr, Tunis. ( buku )

 Al-Qasimiyy, Ahmad. ( 2021 ) Mafhum al-Syaukah..adakah relevan untuk mentadbir kepentingan umum hari ini, https://arabi21.com/story. ( dicapai pada 2.2.2022. laman web )

Leave A Reply

Your email address will not be published.