Dalam sesi Wacana Felo Kanan PEMIKIR baru ini telah diadakan sesi dialog bersama Dr Laith Sa’ud Jasim al-Qaisi yang merupakan pakar dalam perbahasan pemikiran dan peradaban Islam. Beliau merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Fath Sultan Mehmet, Istanbul dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) selama 25 tahun.
Topik yang diwacanakan adalah bertemakan Falsafah Ilmu iaitu bertajuk “Membangun Kembali Akal Muslim Kontemporari”. Topik ini dipilih melihat bagaimana antara krisis dunia Islam pada hari ini adalah berkenaan fungsi akal serta kedudukannya sehingga memberi kesan terhadap tasawwur ilmu yang terbentuk. Ketidak jelasan terhadap konsep ini membawa kita umat Islam akhirnya merendahkan erti akal serta menghilangkan hubungannya dengan iman lalu meletakkan ia selari dengan kelimuan barat yang membuang agama.
Beliau menekankan pentingnya umat Islam membangun projek pemerkasaan akal muslim (barnamij bina al-aql muslim) untuk memelihara daripada sebarang ancaman pemikiran (ghazwah fikr) yang cuba didoktrin oleh barat. Pembangunan ini perlu bermula daripada penghayatan landasan seruan wahyu ‘iqra’ yang memberi makna besar tentang asas kewujudan insan serta ketinggian ilmu dalam membangun akal insani. Atas landasan inilah berdirinya generasi terdahulu hingga dapat membawa kegemilangan pada sejarah ketamadunan manusia.
Beliau melihat dua kunci asas bagi pembangunan peradaban Islam masa hadapan perlu bermula dengan membetulkan sumber ilmu (masdar asasi) dan pembangunan korpus keilmuan tersendiri (tsaqafah syamilah) pada semua aspek kehidupan manusia. Daripada landasan ini, kita umat Islam perlu menentang keilmuan barat sedia ada (muwajahah afkar al-gharb) yang ‘memandulkan akal’ insan lalu membina kembali tasaqah ilmu kita yang menyeluruh.
Dalam sesi tersebut juga banyak perbincangan serta diskusi idea yang berlaku dikalangan Felo Kanan PEMIKIR bersama tetamu jemputan. Antaranya perbincangan tentang sejauh mana keberjayaan projek Islamisasi Ilmu serta ‘universiti islam’ yang telah berjalan kenapa kita masih lagi memerlukan kepada tajdid falsafah ilmu. Insyallah di masa hadapan PEMIKIR akan memperbanyakan lagi sesi wacana seperti ini untuk kita mencambah pemikiran dan penerapan budaya fikir dikalangan masyarakat.