Dalam buku Tajdid: Falsafah Peradaban Islam, peradaban ditakrifkan sebagai kemuncak pencapaian usaha masyarakat manusia, untuk membangunkan kesempurnaan demi merealisasikan aspirasinya bagi mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat.
Jika kita mengimbau kembali zaman kegemilangan melayu melaka, kita dapat melihat sebuah peradaban bertunjangkan Islam pada kekuatan mereka. Mereka menjadikan setiap aspek kehidupan mereka dengan menjadikan Islam sebagai rujukan kepada sistem-sistem yang digunakan. Sebagai contoh, sistem politik, undang-undang, ekonomi, perdagangan dan lain-lain lagi.
Jika kita melihat hari ini pula, sistem-sistem yang kita gunakan di negara kita tidak sepenuhnya bersumberkan Islam. Undang-undang yang sedang diamalkan bercampur dengan undang-undang yang disediakan British sewaktu negara ini dijajah. Sistem Pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat cerapan ilmu, beroperasi seperti kilang pencetak pekerja. Dalam sistem ekonomi pula, walaupun terdapat banyak usaha untuk menjadikan sistem ekonomi berlandaskan Islam dan patuh Syariah, masih terdapat banyak lagi sistem-sistem yang berunsurkan riba, gharar dan judi masih dipraktikkan oleh syarikat-syarikat, malah sistem-sistem ini masih diiktiraf di negara kita. Begitu juga dengan sistem-sistem lain yang masih bercampur-baur antara yang halal dan haram. Sistem-sistem ini tidak membantu kita mencapai peradaban, hal ini kerana hasil yang diperoleh dari sistem ini hanyalah kesempitan dan kesengsaraan. Golongan yang kaya akan terus kaya, dan golongan miskin pula akan terus miskin. Dan keduanya tidak mengecapi kebahagiaan dengan cara hidup tersebut.
Bagi mencapai peradaban, berdasarkan takrif di atas, kita perlu mencapai kemajuan dalam setiap bidang-bidang yang berkait dengan kehidupan manusia. Seterusnya, dengan kemajuan tersebut, manusia mengecapi kebahagiaan serta kemuliaan kerana mereka mempunyai rasa tanggungjawab dalam menggapai perkara tersebut, bekerja dengan kebenaran serta wujudnya keadilan. Kebahagiaan yang dimaksudkan di sini ialah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Bahagia di dunia kerana jauh dari penindasan dan kesempitan hidup, dan bahagia di akhirat kerana mendapat syurgaNya disebabkan redaNya semasa di dunia.
Daripada kesemua di atas, muncul pula persoalan. Bagaimana ingin mencapai kemajuan dunia serta kebahagiaan di dunia dan akhirat? Adakah dengan mengejar kemajuan, kita beroleh redha Allah?
Konsep ibadah dalam Islam adalah melakukan segala perbuatan dengan ikhlas kerana mengharapkan redha Allah, dan bertepatan dengan syariat. Bermakna, bukan hanya ritual khusus seperti solat, puasa, zakat sahaja merupakan ibadah, tetapi melakukan aktiviti riadah, bekerja, menanam pokok juga adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas, dan menepati syariat. Oleh itu, dalam bekerja untuk kemajuan dunia, kita akan memperoleh redha Allah jika perkara itu diniatkan sebagai ibadah dan dilakukan mengikut syariat.
Seterusnya, bagaimana pula ingin mewujudkan kemajuan kerana Allah berlandaskan syariatNya?
Kemajuan yang kita ada hari ini merupakan hasil akal dan tangan-tangan manusia. Manusia berfikir dan menerjemahkan fikirannya dengan mencipta pelbagai sistem, teknologi, ilmu untuk kegunaan-kegunaan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, untuk mewujudkan sistem atau teknologi berlandaskan syariat, terlebih dahulu kita perlu mewujudkan manusia yang mempunyai aqidah yang sahih iaitu beriman kepada Allah swt. Aqidah yang benar ini akan mengawalnya dalam bertindak membuat sesuatu kajian dengan rasa tanggungjawab dan menghasilkan sesuatu mengikut sempadan syariat. Ini merupakan tafsiran kepada elemen-elemen dunia iaitu wujud, insan dan alam yang mana elemen-elemen ini adalah hasil terjemahan wahyu dan akal mengikut epistemologi ilmu islam.