Alhamdulillah, pada 19 Julai 2022, kami berpeluang mendengar pembentangan wacana ilmiah yang diadakan di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Wacana ini telah dibentangkan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusuf Hj. Othman, Profesor Emeritus, Institut Islam Hadhari. Wacana ini merupakan wacana sulung yang dianjurkan oleh Institut Islam Hadhari.
Wacana ini dimulakan dengan takrifan sains sebagai satu cabang pengetahuan berkaitan pemikiran manusia. Menurut beliau sains merupakan usaha mencari tabii alam berdasarkn kecerdasan intelek, manakala agama ialah usaha mencari kebenaran ilahi melalui ilmu wahyu dan sunnah Nabi. Beliau kemudiannya memfokuskan sisi perbandingan antara dua perspektif ini.
Antara kaitan ilmu sains dan manusia ialah sains memahamkan manusia untuk menjalani kehidupan dan membangunkan potensi manusia itu sendiri.
“Sains muncul ketika Allah Taala mencipta Nabi Adam dan melantiknya sebagai seorang khalifah pertama”
Antara persamaan ilmu sains dan agama ialah keduanya menekankan konsep mencari kebenaran ilmu pengetahuan namun sains mempunyai limitasi tersendiri dan bersifat tidak mutlak kerana ia berasaskan logik akal manusia. kebenaran Al-Quran tidak tunduk kepada kebenaran sains, tetapi kebenaran sains perlu tunduk kepada kebenaran Al-Quran. Ini dapat dilihat melalui kisah-kisah Nabi dan Rasul di dalam Al-Quran yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Kebenaran ini diyakini kesahihannya kerana berlandaskan wahyu Ilahi. Sebagai contoh, kisah penyembelihan Nabi Ibrahim ke atas Nabi Ismail yang mana mengikut logik sains, pisau bersifat tajam dan boleh melukakan, namun pisau tersebut tidak melukai Nabi Ismail dan Allah telah menukarkan Nabi Ismail dengan haiwan sembelihan. Senario ini jelas bertentangan dengan konsep sains. Dua ilmu ini hanya mampu didamaikan dengan sudut pandang berlandaskan iman.
Keperluan manusia kepada teknologi telah menjadi perkara asas dalam menguruskan kehidupan. Sains dan teknologi melengkapkan sisi keperluan luaran manusia. Pada masa yang sama, agama melengkapkan nilai ruhiyah yang dituntut untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang hamba.
Gabungan antara kedua aspek ini akan melahirkan seorang insan yang ideal untuk mentadbir alam sebagai khalifah .
Kesimpulannya, ilmu sains yang benar tidak akan bercanggah dengan kebenaran Ilahi. Selaras hakikat sebuah ilmu pengetahuan yang bertujuan mendekatkan diri seorang hamba kepada Penciptanya.