Maka andai Namrud masih hidup, pasti dia tersenyum melihat betapa kemajuan hari ini tidak lari jauh daripada keadaan pada zamannya, manusia menyembah Namrud atas rasional dan kuasa, maka persoalan pokok hari ini, siapakah Namrud yang masih hidup pada saat ini?
Apabila bercakap berkaitan kejahatan, kebiasaannya kita akan merujuk kepada susuk Firaun yang menzalimi manusia dengan memperhambakan sekelompok bangsa, dan memperbodohkan sekelompok bangsa yang lain. Kejahatan Firaun kemudian diperturunkan kepada generasi-generasi dan diperluaskan penggunaanya di dalam penggunaan bahasa, maka muncullah istilah seperti “Jahat seperti Firaun”, “Maha Firaun” dan lain – lain istilah.
Malah boleh dikatakan lafaz Firaun setara dengan lafaz syaitan dalam konotasi menyatakan kejahatan seseorang. Namun sedar atau tidak, penguasa jahat pertama yang dinaikkan di dalam Quran bukanlah Firaun, tetapi sebuah susuk yang lebih mendalam di sudut penceritaanya dan falsafah nya, Namrud Laknatullah. Kisah Namrud pertama bermula di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 258 :
“Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim“
Namrud Manusia Pertama Mengaku Tuhan
Cerita seorang Raja Kota Babylon, Namrud, dengan ciri-ciri perdebatan yang terperinci dan sejarah melawan tuhan yang lebih terperinci berbanding kisah Firaun dan Nabi Musa. Tatkala Nabi Ibrahim bertemu dengan Namrud beliau berdakwah supaya Namrud memeluk Islam dengan kaedah berdebat. Nabi Ibrahim bertanya soalan yang tepat berkaitan ‘hak ketuhanan’ yang milik mutlak Allah SWT. Maka beliau bertanya soalan ringkas “Tuhan aku (Allah) yang menghidupkan dan mematikan!”.
Maka Namrud menjawab “Aku yang mematikan dan menghidupkan!”. Tafsiran paling masyhur adalah Namrud membunuh salah seorang hambanya atau tawanannya,dan melepaskan tawanan yang lain. Maka yang dibunuh itu didakwa dibawah kuasanya untuk mematikan dan yang dibiarkan hidup didakwa dibawah kuasanya untuk menghidupkan.
Jika diperhatikan penghujahan Namrud, didapati pada awalnya wujud kadar rasional yang tinggi. Dimana kuasa seorang raja boleh menentukan kehidupan seseorang, dan boleh memberikan kesan kepada nyawa seseorang. Maka seorang raja boleh menetapkan peraturan, boleh menetapkan pembahagian kekayaan negara, seolah posisi dan kuasa seorang raja mempunyai kuasa mutlak kepada kehidupan seseorang.
Dalam bahasa yang lebih ringkas, tindakan dan kuasa di dunia boleh memberi kesan kepada kehidupan mana-mana manusia. Dan perkara ini dilihat jelas dengan ketinggian rasional dan bukti empirikal yang wujud di dalam kehidupan manusia seharian. Berapa banyaksudut kehidupan kita yang dilihat dikawal oleh susuk Pemimpin Negara? Contohnya apabila berlaku mana-mana kematian (bukan tabii) pasti akan dipersalahkan kepada pemimpin.
Malah tindakan pemimpin akan memberi kesan kepada segenap kehidupan manusia. Bukankah ini suatu yang rasional, dan terbukti secara empirikal, tanpa perlu dilihat melalui penaakulan yang mendalam mahupun kajian sains sosial untuk difahami? Maka apakah salah Namrud apabila hujah dia menepati kaedah rasional dan empirikal?
‘Rasional’ dan ‘Emperikal’ Menurut Namrud
Malah di dalam keadaan hari ini, boleh jadi Namrud akan diangkat menjadi pemimpin tonggak dunia. Dengan membawa kemajuan teknologi kepada dunia ketika itu. Kemajuan dari sudut astronomi sehinggakan Babylon adalah tamadun pertama yang mengukur masa berdasarkan peredaran kosmos, 7 hari seminggu dan seterusnya.
Kemajuan di sudut pertanian sehingga mampu membina kebun-kebun yang maju dan mampu untuk mengubah kehidupan masyarakat daripada berburu dan mengutip hasil hutan kepada kekayaan hasil tanaman. Dan paling ketara adalah kemajuan di sudut pembinaan dengan pembinaan Menara Babel yang ingin dijadikan simbol ketamadunan ketika itu.
Maka apakah kesalahan Namrud? Adakah salah kerana mendakwa dia tuhan sedangkan rasional Namrud mengatakan bahawa dia berkuasa, dan bukti empirikal (melalui teknologi dan kemajuan) mengatakan Namrud mampu membina dan seolah mencipta?
Malah Namrud tidaklah menafikan wujudnya tuhan secara mutlak, cumanya dia adalah pengasas kepada faham politeism atau syirik (berkongsi kuasa dan keududukan) tuhan, dimana tuhan itu banyak. Naratif yang dibawa bukanlah aku tuhan dan yang lain bukan tuhan, tetapi adalah perkongsian sifat ketuhanan ataupun istilahnya adalah apabila dia menjadi tuhan maka tuhan yang satu lagi menjadi tuhan mandul (Deus Ostioseus). Tidakkan itu rasional dan terbukti secara empirikal?
Berbeza dengan Firaun, hujah Firaun melawan Nabi Musa adalah menggunakan sihir, tongkat dan tali bertukar menjadi ular menggunakan sihir mistik. Tidaklah Firaun berdebat menggunakan metod rasional dan empirikal, tetapi lebih kepada manipulasi, teknologi dan paksaan. Sudut ini dibawah penulisan berbeza. Maka, apakah jawapan nabi Ibrahim terhadap dakwaan Namrud?
Nabi Ibrahim Simbol Pertembungan Sepanjang Zaman
Ternyata Nabi Ibrahim bijak menangkis, beliau tidak menjawab terus hujah Namrud, kerana jika Nabi Ibrahim menjawab dalam kerangka hidup dan mati ataupun kehidupan manusia, beliau pasti akan berputar pada retorik hujah rasional Namrud. Maka beliau terus bertanya soalan di ruang yang lain, soalan yang lebih besar daripada hidup dan mati seorang manusia, soalan “Tuhan aku menerbitkan matahari dari timur, maka boleh kah kamu terbitkan dari barat?”.
Maka Nabi Ibrahim mengambil setapak lagi bagi menjatuhkan hujah rasional dan empirikal Namrud, beliau terus mengambil separuh tapak ke ruang kosmologi, berkaitan kewujudan alam. Maka langkah ringkas sebelum bercerita berkaitan wujudnya alam adalah, mampukah menggerakkan alam? Maka pada logik rasional yang lebih mudah, kalau menerbitkan matahari pun tidak mampu, maka pasti tidak mampu mewujudkan matahari.
Malah bukti empirikal cukup jelas, ruang lingkup ‘kuasa manusia’ terbatas. Sehebat manapun manusia mentadbir dunia, dia tidak mampu mentadbir planet walaupun manusia tersebut bercita-cita menjadi tuhan! Maka disinilah perbezaan pokok rasional Namrud yang awalnya nampak tinggi logiknya namun hakikatnya rapuh kerana logik tuhan bagi dia hanyalah pada ruang lingkup mengurustadbir manusia, sedangkan logik tuhan adalah mencipta alam, mengurus tadbir alam dan memusnahkan alam, bukan semata membunuh seorang manusia!.
Begitu juga dengan bukti empirikal yang digunakan pada batas kuasa Namrud, ternyata hanya pada skala seorang manusia yang bercita-cita menjadi tuhan, dan masih di dalam batas kuasa yang diberikan oleh Allah untuk mengurus tadbir bumi dan gagal menjangkaui kuasa yang diberikan oleh Allah.
Ideologi Mithra Sebagai Falsafah Ilmu Barat
Maka penipuan menggunakan rasional dan empirikal yang cetek telah lama berjalan dan dipelopori oleh Namrud dengan aqidah Mithra (agama misteri) yang membawa kepada Politeism dan keagungan manusia sebagai tuhan untuk disembah. Ironi apabila hujah empirikal Nabi Ibrahim merujuk kepada Matahari dan Mithra menaikkan matahari sebagai simbol.
Ternyata segala kemajuan teknologi yang dicapai Namrud untuk mencapai kepuasa aqidah mistik/mithra ternyata membawa kemajuan tamadun babylon, namun diakhirnya bercanggah dari sudut asas penyembahan kepada Allah.
Segala kemajuan dibawa dengan prinsip ingin menafikan hak ketuhanan kepada Allah dan mengambil secebis syirik – hak ketuhanan diserahkan kepada manusia bernama Namrud. Apabila diyakini Namrudlah yang memberi manfaat dan mudarat, maka disitulah bermulanya langkah kecil untuk menyekutukan Allah walaupun dihiasai dengan rasional dan empirikal yang cetek dan dangkal!
Adakah Namrud Masih Hidup?
Ini bukanlah soalan retorik, tetapi lebih kepada mendalami bahawa hidupnya seseorang adalah apabila ideologi dan aqidah yang dibawa terus hidup dan subur, bukanlah semata hidupnya disebabkan nyawa yang ada, tetapi akar ideologi dan aqidah yang dibawa adakah masih ada. Atau soalan yang lebih tepat, adakah aqidah mithra Namrud masih ada pada hari ini?
Naratif masih hidup Firaun-firaun yang merosakkan dunia cukup banyak, namun naratif Namrud yang membawa tamadun dan merosakkan aqidah dan ideologi atas aqidah mithra bukankah lebih ketara? Malah ternyata aqidah mithra menolak tamadun Namrud menjadi tamadun thaghut yang pertama membawa kepada perkongsian ketuhanan (syirik/politeism).
Jika dilihat realiti kehidupan manusia pada hari ini, bukankah manusia menolak agama atas asas ‘rasional’ bahawa Agama tidak berjalan atas rasional dan memperbodohkan manusia kerana terpaksa mengikut tanpa ada ruang untuk berfikir? Bukankah manusia juga menolak Islam atas alasan tiada bukti empirikal wujudnya Allah? Seolah tidak nampak Allah dihadapan mata (bukti empirikal) maka tidak boleh percaya Allah hadir bersama kita, Allah wujud, Allah berkuasa.
Maka andai Namrud masih hidup, pasti dia tersenyum melihat betapa kemajuan hari ini tidak lari jauh daripada keadaan pada zamannya, manusia menyembah Namrud atas rasional dan kuasa, maka persoalan pokok hari ini, siapakah Namrud yang masih hidup pada saat ini?
Maka berselawatlah kita kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim atas tunjuk ajar beliau yang masih segar sebagai pedoman sehingga ke hari ini.