Pengislaman Kepulauan Melayu merupakan satu proses penting yang membawa perubahan yang besar dan bermakna kepada masyarakatnya. Secara beransur-ansur, Islam telah mengubah kerangka kerajaan Melayu daripada bercirikan kerajaan Hindu kepada kerajaan Islam berbentuk kesultanan.
Walaupun para Orientalist seperti Stamford Raffles dan R.O. Winstedt menolak perkara ini dan menganggap pengaruh Islam hanyalah sekadar “satu lapisan nipis” yang menutupi pengaruh Hindu-Buddha, namun pandangan ini ditolak oleh beberapa sarajana tempatan terutamanya Prof. Dr. Muhammad Naquib al-Attas. Beliau berpendapat pengaruh proses pengislaman di Kepulauan Melayu beransur-ansur mengakar umbi dan terzahir secara jelas dalam pelbagai sudut kehidupan masyarakat Melayu.
Berakar Umbi dalam Perundangan
Sebagai contoh, Islamisasi undang-undang tradisi masyarakat Melayu merupakan salah satu bukti nyata yang menunjukkan pengaruh langsung proses pengislaman Kepulauan Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila Raja-raja Melayu yang memerintah mengambil usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengislamkan undang-undang kerajaan masing-masing.
Walaupun dalam proses ini undang-undang tersebut masih bercampur-baur dengan adat tempatan, namun proses tersebut membuktikan bahawa Islam wujud sebagai satu pendorong kepada raja-raja Melayu untuk mengislamkan undang-undang kerajaan dan mengubahsuai adat agar selaras dengan kehendak ajaran Islam.
Perkara ini dapat dibuktikan dengan fakta sejarah apabila setelah kedatangan Islam dan tertubuhnya pelbagai kesultanan Melayu di serata tempat, boleh dikatakan hampir setiap kesultanan menghasilkan undang-undang bertulis masing-masing. Prof. Dr. Jelani Harun, di dalam bukunya Undang-undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan telah mengkaji 20 naskhah undang-undang yang dihasilkan oleh sekurang-kurangnya 15 kesultanan yang pernah dan masih wujud di Kepulauan Melayu, bermula dengan Kesultanan Melaka.
Hal ini belum termasuk beberapa lagi kesultanan yang dipercayai turut mempunyai naskhah perundangan tersendiri namun masih belum ditemui buktinya. Bahkan R.J. Wilkinson sendiri mengakui bahawa perundangan Islam adalah perundangan yang sudah diamalkan dan berkembang di Tanah Melayu dan perkembangannya hanya terbantut kerana campur tangan British.
Pemanusiaan dalam Kesultanan Melayu
Selain daripada itu, pengaruh Islam terhadap pemikiran politik masyarakat Melayu juga dapat dilihat melalui proses yang mana raja-raja Melayu telah di “manusia” kan setelah kedatangan Islam. Raja-raja Melayu pada zaman Hindu-Budhha sering kali dianggap jelmaan dewa-dewa yang didoktrinkan melalui konsep ‘dewaraja’.
Namun begitu, jika diteliti dan diperhalusi mengenai konsep dan pemikiran sejarah masyarakat Melayu di dalam karya-karya sejarah tradisi seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalat al-Salatin, dan Hikayat Merong Mahawangsa, menyatakan bahawa raja-raja Melayu sebenarnya telah di “manusia” kan oleh pengarang-pengarang naskhah tersebut. Sebagai contoh, Nila Pahlawan dan dua saudaranya apabila tiba di Bukit Siguntang di dalam Sulalat al-Salatin menyebut asal usul mereka adalah daripada manusia, dan bukanlah jin dan peri atau bangsa indera (kayangan).
Perkembangan ini membawa kepada satu kesimpulan bahawa setelah kedatangan Islam, raja-raja Melayu sendiri sedar bahawa masyarakat Melayu tidak akan menerima mereka jika mereka terus mengaitkan asal-usul mereka dengan unsur yang menyimpang daripada Islam, iaitu perkaitan dengan dewa-dewa yang secara terang adalah salah satu dosa besar di dalam Islam iaitu melakukan syirik.
Sultan Menasabkan kepada Peradaban Tauhid
Maka mereka sedar satu medium lain perlu dicari bagi mengabsahkan kedudukan mereka sebagai raja Melayu. Dengan itu, mereka mengaitkan nasab mereka dengan tokoh-tokoh penting di dalam Islam seperti Iskandar Zulkarnain dan Nabi Sulaiman A.S. Penolakan masyarakat Melayu ini adalah kesan proses pengislaman yang menurut pandangan Prof. Dr. Muhammad Naquib al-Attas di dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu sebagai:
“Timbulnya rasionalisme dan intelektualisme ini dapat kita bayangkan sebagai semangat nan hebat yang menggerakkan proses merevolusikan pandangan hidup masyarakat Melayu-Indonesia, memalingkannya dari alam seni dan mitos yang khayal, yang sudah mulai gugur dari singgahsananya, dan mematuhiserta menetapkannya pada alam akal dan budi yang menuntut cara-gaya tertib teratur. Para penyebar agama Islam mendakyahkan kepercayaan ketuhanan yang Tunggal yang kudrat-Nya terhukum pada hikmat-Nya; yang iradat-Nya berjalan selaras dengan Akal.”
Arus “permanusiaan” golongan raja-raja ini seterusnya mempengaruhi kerangka penulisan undang-undang Melayu tradisi. Setelah di “manusia” kan, raja-raja Melayu selanjutkan diingatkan bahawa mereka adalah di bawah undang-undang, bukannya di atas undang-undang. Hukum Kanun Melaka menyebutkan “Barang siapa tiada hendak mengikut hukum itu melainkan datanglah bala dan laknat Allah taala atas segala rakyatnya dan negeri raja-raja itu”
Manakala mukadimah Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak pula menegaskan: “Jikalau tiada mau memakai undang-undang dan apa-apa hukum Qur’an, maka tersebut di dalam undang-undang. “Orang itu tiada boleh memegang perintah di dalam negeri.”
Ketundukan kepada Kedaulatan Islam
Walaupun tercatat di dalam sejarah akan beberapa orang raja Melayu yang memerintah secara tidak sepatutnya, namun Dr. Noor Aisha Abdul Rahman memberikan satu sudut pandangan yang menarik terhadap isu tersebut. Menyentuh sikap Sultan Mahmud Syah Melaka sebagai contoh, beliau berpendapat walaupun baginda melakukan penyalahgunaan kuasa, namun dalam beberapa peristiwa yang dicatakan oleh Sulalat al-Salatin, baginda tetap mengakui dan menerima bahawa baginda adalah tertakluk kepada undang-undang.
Kesemua perkembangan yang berlaku ini akhirnya telah menyebabkan Dr. Noor Aisha Abdul Rahman menyimpulkan bahawa apa yang berlaku sebenarnya bukanlah Raja-raja Melayu memanipulasi Islam untuk memperkukuhkan kedudukan mereka, namun hakikatnya, Raja-raja Melayu terpaksa akur dan tunduk dengan arus Islamisasi dengan mengislamkan sistem pemerintahan dan perundangan bagi mengekalkan keabsahan pemerintahan mereka di mata masyarakat Melayu.
Kesimpulannya, sebagaimana yang dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad Naquib al-Attas di dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, sesunguhnya kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu telah merubah dan merombak idea, pemikiran dan pandangan alam (worldview) masyarakat Melayu.
Penelitian lanjut perlu dijalankan untuk terus memahami perubahan yang berlaku dan seterusnya menangkis tuduhan-tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Islam hanyalah tempelan luaran yang tidak membawa apa-apa makna bagi masyarakat Melayu.