3 Sudut Peradaban Menurut Perspektif Wahyu

0

Peradaban yang diasaskan atas dasar wahyu memerdekakan manusia (tahrir al-basyariyyah) daripada segala eksploitasi, belenggu dan kongkongan yang menghalang kemajuan manusia. Tiada pengabdian diri melainkan kepada Allah dalam semua aspek

Wahyu mempunyai peranan besar dalam membentuk tasawwur menyeluruh seorang mukmin dalam semua aspek kehidupan hingga kepada kemuncak peradaban. Melalui gambaran ini, ia membezakan tamadun yang lahir daripada asas ini berbanding tamadun lainnya. Dalam artikel ini, saya ingin kongsikan tiga sudut peradaban menurut perspektif wahyu.

1. Tema dan Elemen Utama Peradaban

Dalam Al-Quran, terdapat banyak isyarat dan nilai tentang peradaban yang difirmankan oleh Allah SWT. Isyarat tersebut datang dalam bentuk kisah umat-umat terdahulu, atau perkataan-perkataan tertentu, dan pelbagai lagi isyarat lain yang perlu kepada pembacaan dan kajian yang menyeluruh. Disebabkan worldview Islam yang rabbani -iaitu wujudnya Tuhan dalam kehidupan-, maka tujuan dan erti peradaban dalam Islam ditentukan melalui integrasi wahyu dan rasional akal.

Peradaban adalah fenomena kepada penzahiran beberapa elemen, dan antara elemen yang mendasar dalam peradaban adalah worldview kehidupan. Perspektif yang wujud terhadap worldview kehidupan ini akan melahirkan sebuah prototaip atau model peradaban yang tersendiri. Jadi, memahami tuntutan Allah daripada kehidupan manusia adalah penting untuk menjadi sumber dalam menentukan formula peradaban Islam.

2. Gambaran Wahyu Tentang Peradaban dan Kehidupan

Apakah kehendak Allah daripada penciptaan manusia? Firman Allah yang jelas mengenai penciptaan manusia adalah seperti dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Az-Zariyat:56).

Secara ringkasnya, Allah menciptakan manusia untuk tujuan ibadah. Ibadah di sini bermaksud menjadi hamba kepada Allah, iaitu mengikut segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Dengan ini, manusia akan mencapai kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Selain itu, antara firman Allah lain yang jelas tentang tujuan penciptaan manusia, di dalam surah Al-Baqarah:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan melakukan fasad dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan menyucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui”. (Al-Baqarah:30)

Allah menciptakan manusia sebagai khalifah, iaitu sebagai wakil dan pengganti (vicegerent) untuk mentadbir manusia dan memakmurkan dunia. Ini bermakna, neraca kejayaan penciptaan manusia diukur pada sejauh mana mereka berjaya memakmurkan dunia dan mencapai kesejahteraan, berdasarkan dialog Allah dan para malaikat ketika penciptaan Nabi Adam.

Ibadah seringkali disalah fahami sebagai ritual khusus yang dilakukan oleh manusia untuk Tuhan. Ibadah secara khususnya memang memberi konotasi ritual seperti solat, zakat, puasa, membaca Al-Quran dan lain-lain. Namun, di dalam Islam, ibadah bukan sekadar itu.

Ibadah mencakupi pelbagai makna, hatta kerja-kerja yang bersifat “duniawi”. Mafhum ibadah di dalam Islam sangat luas, dengan syarat ianya dilakukan dengan ikhlas kerana mengharapkan redha Allah, dan bertepatan dengan syariat. (Qutb M. , 2003). Nabi bersabda dalam sebuah hadith:

Maksudnya: Daripada Anas Bin Malik, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Sekiranya berlaku Hari Kiamat sedangkan di tangan seorang daripada kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum Kiamat, maka hendaklah dia menanamnya.” (Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Ahmad dan Al-Bazzar).

Di dalam hadith ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk menanam benih yang ada di tangan kita walaupun kiamat sudah hampir tiba. Sepatutnya baginda menyuruh kita untuk mengerjakan ibadah-ibadah khusus seperti solat dan lain-lain, namun baginda tetap mengarahkan umatnya untuk melakukan “kerja dunia” tersebut.

Ini memberi isyarat kepada kita bahawa hakikatnya Islam tidak memisahkan amal dunia atau akhirat, bahkan kedua-duanya diperlukan untuk mencapai kebahagiaan duniawi dan kejayaan ukhrawi. Mana-mana muslim yang hanya mengambil salah satu aspek amal dan meninggalkan aspek yang lain hanya akan menyebabkan peradaban yang dibina rapuh dan membawa kepada kehancuran.

Kemuncak ibadah untuk umat manusia adalah membangunkan sebuah peradaban. Di sinilah sebenarnya kaitan antara ibadah dan khilafah yang menjadi tujuan utama penciptaan manusia. Ibadah dan khilafah bukanlah dua perkara kontra, namun kedua-duanya adalah sintesis untuk memberi kita kefahaman bahawa khilafah- iaitu mentadbir dunia dan membangunkan peradaban- merupakan kemuncak ibadah yang perlu dilakukan oleh manusia.

Dengan menjalankan tugas membina peradaban berpaksikan wahyu ini, barulah manusia mampu melunaskan misinya seperti yang dikehendaki oleh Tuhan, dan mencapai kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat.

3. Misi Anbiya’ AS Adalah Membangunkan Peradaban

Misi membangun peradaban ini telah dimulakan oleh manusia pertama, Nabi Adam AS lagi. Elemen utama dalam risalah peradaban yang dibawa oleh mereka adalah menegakkan ubudiyyah kepada Allah semata-mata dan menafikan taghut (syirik, ateisme dan lain-lain). Penegakan ubudiyyah kepada Allah dan penafian taghut merupakan asas penting kepada peradaban Islam. Allah berfirman:

Terjemahan: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” (An-Nahl: 36).

Peradaban yang diasaskan atas dasar wahyu memerdekakan manusia (tahrir al-basyariyyah) daripada segala eksploitasi, belenggu dan kongkongan yang menghalang kemajuan manusia. Tiada pengabdian diri melainkan kepada Allah dalam semua aspek -aqidah, syariah dan sistem-.

Kemerdekaan ini membebaskan manusia daripada menjadi hamba kepada raja, gereja dan agamawan, elit global kapitalis, birokrat serta kerajaan yang mengeskploitasi rakyat demi kepentingan kelompok mereka. Belenggu dan kongkongan yang berlaku sepanjang sejarah manusia (walaupun pihak yang membelenggu itu berubah mengikut zaman) ini yang menyebabkan manusia tidak dapat mencapai kemajuan dan membina peradaban yang sebenar.

Manusia pertama yang diperintahkan untuk membina peradaban di muka bumi adalah Nabi Adam AS. Nabi Adam telah memulakan misi membangunkan kehidupan yang berasaskan insaniah dan tauhid kepada Allah SWT. Beliau membangunkan peradaban berpandukan daripada apa yang diajarkan oleh Allah (asma’).

Penekanan kepada akhlak yang mulia, kerana ia adalah aspek penting dalam pembinaan peradaban dan syarat kepada sustainability sebuah peradaban (kisah korban Qabil dan Habil).

Kehidupan berasaskan ubudiyyah kepada Allah dan insaniah terus dibentuk sehingga pada zaman Nabi Nuh, muncul elemen syirik yang mencabar asas kehidupan tersebut (kubur wali yang akhirnya menjadi berhala sembahan). Penyembahan berhala merupakan perkara yang tidak insani, di mana manusia telah mencemarkan keinsanan mereka dengan menyembah objek yang mereka sendiri cipta.

Mereka menghambakan diri kepada sesuatu yang tidak bernyawa, bahkan tidak mampu memberikan manfaat mahupun mudarat. Penyembahan berhala dan objek material adalah manifestasi kemunduran kehidupan insan.

Nabi Ibrahim AS pula berhadapan dengan Namrud, taghut yang sudah mencapai kekuasaan dan membina tamadun berasaskan kekufuran dan eksploitasi manusia. Nabi Ibrahim mencabar dominasi kerajaan Namrud dan memberikan peringatan agar mereka kembali kepada asas sebenar peradaban iaitu Islam. Baginda berjuang untuk mengembalikan kehidupan manusia yang telah diekspoitasi oleh Namrud untuk kepentingan peribadinya kepada kehidupan yang merdeka.

Bani Israel mencapai kemuncak peradaban mereka di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman AS. Nabi Sulaiman berjaya membina mahligai megah daripada kaca yang berteknologi tinggi, mempunyai jajahan yang besar, mampu menjadikan angin, burung serta jin sebagai khadam dalam misi baginda AS membangunkan peradaban dan menyebarkan risalah Islam.

Dengan kemajuan seagung ini, ia tidak pernah menjadikan Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS lupa diri, berlaku zalim kepada rakyat atau mengaku menjadi Tuhan. Bahkan mereka sentiasa menjadikan diri mereka sebagai hamba yang diberikan kelebihan dengan izin Allah jua. Allah berfirman dalam surah An-Naml ayat 15:

Terjemahan: Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”. (An-Naml: 15)

Ini adakah serba sedikit intisari wahyu mengenai peradaban. Hakikatnya, terdapat pelbagai input mengenai peradaban yang boleh didapati di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, secara langsung dan tidak langsung. Pembacaan yang mendalam perlu dilakukan untuk membolehkan kita mengeluarkan petunjuk-petunjuk wahyu mengenai peradaban, yang akan menjadi landasan dalam misi kita membangunkan peradaban.

Leave A Reply

Your email address will not be published.