Tamadun Barat berdiri dengan falsafah humanisme yang berteraskan kebebasan melampau dan kesamarataan dimana taghut dan ateis diambil sebagai akidah . Ini membawa kepada Orde Dunia Baru dan falsafah homodeus.
Akidah taghut berasal dari ajaran misteri yang menyerap masuk ke dalam semua agama dan peradaban, dengan wajah yang pelbagai menuju misi yang sama. Bermula dengan usaha iblis menyesatkan anak adam dari bersikap ubudiyyah kepada Allah. Taghut membawa idea ontological proximity iaitu memanusiakan tuhan dan mentuhankan manusia. Naratif ini menafikan kewujudan Tuhan dan menyebarkan idea bahawa agama hanyalah ritual.
Tamadun barat moden mendakwa kemuncak peradaban mampu dicapai dengan meninggalkan agama dan tuhan. Dakwaan ini menjadi garis pemisah dengan peradaban islam. Pertembungan jelas di sini ialah peradaban barat bertunjangkan taghut dan peradaban islam bersumberkan wahyu dari Allah dan Rasul .
Peradaban islam terbina di atas paksi tauhid yang melahirkan idea unggul insaniah. Falsafah ini terdiri dari tiga elemen utama iaitu kebenaran, keadilan dan tanggungjawab. Pengutusan para anbiya bertujuan untuk mengajarkan tauhid dan mengutuskan risalah peradaban berasaskan insaniah berpaksikan ubudiyyah dan menghapuskan ajaran taghut. Contoh penafian nilai insaniah ialah penyembahan berhala dan eksploitasi manusia. Peradaban barat mementingkan faktor luaran untuk mencapai tujuan bersifat material, manakala peradaban islam mencakupi faktor dalaman dan luaran seorang insan dalam mencapai kebahagian dunia dan akhirat.
Peradaban perlu kepada pendefinisian baru kerana definisi peradaban yang terdahulu kurang tepat. Peradaban menurut definisi baru ialah kemuncak pencapaian usaha masyarakat manusia untuk membangunkan kesempurnaan demi merealisasikan aspirasinya bagi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Definisi ini mementingkan keseimbangan pencapaian dari sudut material dan spiritual yang mampu membawa manusia kepada kebahagian di dunia dan akhirat. Islam memandang kebahagian dari pelbagai aspek dalam rangka yang bersepadu.
Falsafah ialah satu aspek penting dalam membentuk peradaban. Falsafah peradaban islam ialah kesempurnaan insaniah. Ia merupakan idea unggul yang memberikan aspirasi kepada daya usaha manusia yang menyeluruh untuk mencapai kesempurnaan yang tercerna di dalamnya hakikat kebahagian dan kehidupan yang tayibah. Peradaban islam meletakkan nilai insaniah sebagai satu nilai penting melalui dasar tahrir al-basyariyyah yang hakiki. Insaniah adalah hasil dari penegakkan konsep ubudiyyah kepada Allah. Manakala, peradaban barat masih mengamalkan konsep penghambaan di sebalik topeng humanisme .
Falsafah peradaban insaniah berdiri atas prinsip al-haq yang membina sistem pentadbiran, prinsip Al-Adalah sebagai asas yang memperkukuh sistem dalam melawan kezaliman serta Al-Masuliyyah yang menjadi motivasi utama dalam kehidupan seorang hamba.
Melihat kepada tasawur peradaban islam yang terhasil dari falsafah peradaban insaniah, nusus syarak serta pengalaman dan hikmah umat islam terdahulu, fikrah ini akan terzahir pada sistem pentadbiran manusia. Sebagai contoh tasawwur peradaban islam dalam konsep ekonomi yang mengharamkan monopoli dari golongan kapitalis. Kegagalan dari menganalisis sistem ekonomi dari fikrah yang benar akan membawa kepada inflasi yang membebankan golongan berpendapatan rendah. Dalam konsep pendidikan dianggap ilmu sebagai pengubah keadaan masyarakat dan juga perkara fardhu diatas setiap muslim. Islam menekankan niat dalam menuntut sesuatu ilmu supaya hasil dari pendidikan ini melahirkan manusia yang meyakini Allah sebagai Pencipta dan bukan menghambakan manusia kepada mana-mana sistem.
Kesimpulannya, pertembungan antara peradaban barat dan islam merupakan pertembungan antara haq dan batil. Ajaran taghut yang menafikan nilai insaniah manusia selama tidak akan bergerak seiring dengan ajaran Islam bersumberkan wahyu yang membawa manusia kepada kebahagian di dunia dan akhirat.