Ramadan Mengajar Erti Berinteraksi Dengan Kebenaran

0

Mungkin antara semua ruang waktu yang wujud, tiada satu pun mampu menyaingi nilai yang terdapat pada setiap detik sepanjang bulan Ramadan, dengan gandaan pahala dan ganjaran yang Allah berikan kepada manusia yang mencari ketaqwaan di dalamnya.

Nilai dan keistimewaan ini hadir kerana ia boleh dinisbahkan kepada sebuah peristiwa yang amat unggul dan agung yang berlaku di bulan Ramadan, iaitu penurunan Al-Quran.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran

Kebanyakkan riwayat menceritakan bagaimana interaksi Rasulullah s.a.w dan para Sahabat terhadap al-Quran di dalam bulan Ramadan, cukup berbeza berbanding pada ruang-ruang waktu selain di bulan Ramadan.  Aishah r.a memberikan sebuah gambaran betapa ketaranya Nabi s.a.w berinteraksi dengan Quran di dalam bulan Ramadan ;

لَا أَعْلَمُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الْقُرْآنَ كُلَّهُ فِي لَيْلَةٍ وَلَا قَامَ لَيْلَةً حَتَّى الصَّبَاحَ وَلَا صَامَ شَهْرًا كَامِلًا قَطُّ غَيْرَ رَمَضَانَ

Aku tidak pernah tahu bahawa Rasulullah s.a.w membaca Quran seluruhnya dalam satu malam, dan bangun malam hingga ke waktu subuh, dan berpuasa selama sebulan penuh, melainkan hanya di bulan Ramadhan.

(Riwayat Nasa’ie)

Hubungan langsung antara Ramadan dan Al-Quran ini meninggikan makna dan tema pencarian hidayah dan kebenaran dalam susuk tubuh umat Islam, sehingga mampu membentuk sebuah kelompok manusia terbaik dan tertinggi martabat yang boleh dicapai dalam sejarah insan. Ini kerana kebenaran adalah mata punca yang melatari segala pergerakan dan persaingan antara manusia dalam kehidupannya, yang saling merebut dan berkorban demi mencapainya,  sehingga ia melahirkan struktur peradaban yang berakar umbi kepada konsep kebenaran itu sendiri. Maka, Ramadan adalah satu ruang berinteraksi kita sepenuhnya dengan punca kebenaran itu sendiri iaitu al-Quran, melebihi dari waktu dan ruang masa lain yang kita lalu.

Bahkan sekiranya kita teliti lebih lanjut erti kebenaran sebagai tema besar dalam bulan Ramadaan, kita dapati dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Wathila ibn Al-Asqa’, bahawa Nabi s.a.w bersabda ;

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

“Diturunkan Suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama Ramadhan. Diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan. Dan (diturunkan) Injil pada 13 Ramadhan. Dan diturunkan Al-Furqan (Al-Quran) pada 24 Ramadhan”.’

(Musnad Ahmad (no: 16984), dan Mukjam Kabir Oleh al-Tabrani)

Ini bermakna sumber-sumber ilmu dan kebenaran yang dicapai oleh manusia sejak berzaman juga adalah diturunkan di dalam bulan Ramadan, sehingga dilihat sebagai satu putaran yang lengkap dan bersambung bermula dari tempoh awal Ramadan dengan suhuf Ibrahim a.s hingga ke hujung bulan Ramadhan dengan penurunan Al-Quran (Furqan). Maka, gambaran signfikan ini membentuk satu arus pembangunan ciri kemanusiaan (insaniah) tertinggi yang dicapai oleh manusia setiap kali melalui bulan Ramadan sejak zaman berzaman. Lebih dari itu, berdasarkan sebuah lagi riwayat hadith dari jalur Ibn Abbas r.a, tema besar kebenaran ini dilihat begitu besar diangkat bukan sahaja interaksi antara manusia terhadap Al-Quran, bahkan interaksi malaikat terhadap Al-Quran itu sendiri ;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ ِ

Adalah Nabi ﷺ seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran. (Riwayat Bukhari)

Pembangunan ciri kemanusiaan (insaniah) tertinggi yang dicapai oleh manusia adalah pada bulan Ramadhan sejak zaman berzaman

Maka, bulan Ramadhan adalah satu titik tolak yang begitu signifikan dalam pembangunan sebuah falsafah ilmu, capaian hakikat kebenaran, dan pencarian makna dan hidayah, dengan munculnya interaksi akal fikiran dan jiwa yang hidup terhadap Al-Quran, berulang-ulang kali sepanjang 30 hari di bulan Ramadan.

Leave A Reply

Your email address will not be published.