Reduksionisme Meruntuhkan Faham Kita tentang Ilmu

0

Akhirnya apa yang terjadi ialah kita tidak mampu menghubungkan faham terhadap bidang tadi dengan aqidah keimanan kita sendiri. Lebih malang tanpa kita sedar, bidang kita itu sedang ‘serve’ kepada kehendak falsafah barat yang melatari ilmu bersifat humanistik, kapitalisme, sekularisme.

Pernah seseorang bertanya pada saya tentang apa masalah pendidikan yang wujud dalam universiti hari ini sehingga saya ada menyebut hilangnya budaya fikir dalam mahasiswa hari ini? bukankah pelajar masih lagi ada subjek setiap semester serta bidang tertentu yang mereka ambil di universiti?

Pelbagai perspektif yang boleh dilihat untuk menjawab persoalan ini sama ada ia berkait tentang falsafah pendidikan, falsafah institut atau falsafah ilmu yang melahirkan budaya fikir itu sendiri. Cuma yang saya ingin kita sama fikirkan pada kali ini ialah tentang falsafah barat berlandaskan reduksionisme yang melatari ilmu kita pada hari ini.

Menjuzukkan Ilmu

Perumpamaan orang buta yang memegang bahagian tertentu pada gajah adalah contoh baik menggambarkan perselisihan antara holism vs reduksionime

Apa yang dimaksudkan dengan reduksionisme? Secara mudahnya ia memecahkan perkara yang kompleks dan menyeluruh kepada juzuk-juzuk yang kecil dan bersifat lebih khusus. Lawan kepada reduksionisme ialah cara pandangan menyeluruh yang disebut sebagai holism.

Reduksionisme pada ilmu menjadikan kita melihat ilmu itu secara khusus, juzuk dan terpecah.

Jika kita perhatikan, faham ilmu secara reduksionisme yang membentuk pendidikan di universiti kita hari ini. Kita berbicara tentang ilmu sains, perubatan, jurutera dan lainnya tanpa kita sendiri faham apa yang diertikan dengan ilmu dan tujuan ilmu itu sendiri.

Bahkan pada setiap bidang itu kita ‘zoom in’ ke pengkhususan lebih dalam tanpa kita mempunyai pandangan secara holistik terhadap bidang tersebut. Sebagai contoh seorang doktor boleh menjadi pakar dalam bidang pengkhususan mata tetapi tidak mampu bercakap apa yang diertikan sebagai al-insan yang diubatnya atau erti al-marid (sakit) yang cuba disembuhkannya.

Seorang jurutera boleh menjadi pakar dalam bidang pengkhususan minyak tetapi tidak mampu faham apa yang diertikan dengan al-islah (membangun) atau al-I’mar al-ardh (memakmurkan bumi) yang dimaksudkan oleh Islam. Seorang ekonomis boleh menjadi pakar saham tetapi tidak mampu mengungkap apa yang diertikan dengan al-mal (harta) dan al-ghaniy (kekayaan).

Berilmu tetapi Jahil

Akhirnya apa yang terjadi ialah kita tidak mampu menghubungkan faham terhadap bidang tadi dengan aqidah keimanan kita sendiri. Lebih malang tanpa kita sedar, bidang kita itu sedang ‘serve’ kepada kehendak falsafah barat yang melatari ilmu bersifat humanistik, kapitalisme, sekularisme.

Pelajar yang lahir daripada reduksionisme ini yang disebut oleh Oppenheim “those who know more and more about less dan less”. Kita faham semakin dalam dan dalam, tetapi semakin kabur dan gelap pada pandangan menyeluruh.

Reduksionisme ilmu bukan sekadar mengancam dunia Islam hari ini, bahkan barat sendiri melihat ianya telah mengancam falsafah kehidupan mereka. Philip Ball menyeru supaya saintis barat hari kembali mencontohi saintis awal abad ke 20 menghubungkan penemuan sains dengan falsafah mereka. Beliau menyebut :

In the early 20th century, the founding fathers of relativity theory and quantum mechanics were trained to read philosophy.

Namun tidaklah falsafah yang mereka lahirkan daripada ilmu tersebut melainkan ia bersifat khianat dan ketidakjujuran ilmu.

Kesepaduan Ilmu

Imam al-Ghazali adalah antara sarjana besar Islam silam yang menekankan pentingnya kesepaduan ilmu

Pada kita umat Islam faham terhadap ilmu perlu diperbetulkan kembali, kita perlu melihat ilmu secara hirarki sebagai contoh yang digambarkan oleh al-Ghazali melalui ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah.

Kefahaman kita terhadap ilmu fardu ‘ain yang bersifat mendasar (usul) serta menyeluruh seperti aqidah, tauhid dan syariat perlu melatari kefahaman kita terhadap ilmu fardu kifayah yang bersifat kemahiran. Kefahaman kita tentang kebenaran Tuhan, manusia dan alam sepatutnya menjadi ‘meta’ yang membentuk konsep ilmu perubatan, kejuruteraan dan lainnya.

Saya tidak nafikan peri pentingnya pengkhususan terutama dengan perkembangan sains dan teknologi hari ini, tetapi tidak sepatutnya pengkhususan itu menghilangkan gambaran kita yang menyeluruh. Bahkan sepatutnya semakin dalam juzuk yang dilihat, semakin kukuh terhadap cara pandang yang holistik. Jika tidak kita akan sesat dalam alam juzuk ini sehingga tidak mampu keluar.

Untuk mengembalikan kefahaman kita terhadap ilmu secara menyeluruh, saya rasakan ada dua pendekatan yang perlu kita ambil.

Pertamanya adalah kembali memperbetulkan serta mengembangkan penghayatan kita terhadap aqidah dan syariat sehingga ia membentuk falsafah kehidupan dan menjadi umm al-ulum (ibu ilmu) melatari seluruh ilmu pada hari ini. Keduanya adalah dengan melakukan wacana-wacana bidang kita secara ‘zoom out’ sehingga kita dapat gambaran holistik terhadap ilmu tersebut.

Mengislamkan ilmu semasa bukan dengan kita memadankan dua, tiga ayat Quran yang sentuh tentang ilmu tersebut seperti sesetengah kefahaman tentang ‘sains islam’ kerana pembaikan seperti itu hanyalah bersifat tempelan. Pembaikan adalah dengan kita kembali berbahas tentang konsep serta falsafah yang melatari ilmu hari ini. Dari sinilah sepatutnya kita mula membangunkan ‘budaya fikir’.

Leave A Reply

Your email address will not be published.