Tahukah anda bahawa terdapat beberapa siri peperangan penting dalam lipatan sejarah umat Islam? Bermula dari perang Badar yang berlaku pada tahun 2 Hijrah (624 M) sehinggalah kepada perang Saif Al-Quds yang berlaku pada tahun 2021M membuktikan bahawa tuntutan berpuasa tidak memadamkan semangat jihad dan roh perjuangan umat Islam.
Perang Badar (624M)
Perang ini merupakan peperangan pertama bagi umat Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Perang Badar juga merupakan peristiwa jihad yang paling mahsyur dan disebut-sebut sehingga ke hari ini. Ini juga merupakan peperangan pertama antara golongan Muslim dan Kafir sejak perutusan Nabi Muhammad SAW. [1] Kemenangan tentera Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad Saw dianggap sebagai satu titik tolak kepada kebangkitan status negara Islam Madinah sebagai pusat kuasa yang dihormati di Jazirah Arab.
Perang Badar juga istimewa kerana terdapat ‘campur tangan’ secara langsung daripada ‘langit’, dengan turunnya para Malaikat bagi membantu tentera Islam berhadapan dengan tentera Musyrikin yang jauh lebih ramai dan dilengkapi peralatan yang jauh lebih baik.
Firman Allah SWT;
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَٱسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّى مُمِدُّكُم بِأَلْفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُرْدِفِينَ) ٩( وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِۦ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا ٱلنَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ١٠
(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Anfal: 9-10)
Perang ini juga dianggap peperangan yang terbaik dalam sejarah umat Islam kerana strateginya adalah secara langsung daripada Nabi Muhammad SAW dan tenteranya adalah dalam kalangan orang Mukmin yang terbaik sepanjang zaman.
Peperangan Guadalete
Peristiwa ini berlaku pada tahun 711 M, apabila tentera di bawah Khalifah Al-Walid I, yang dipimpin oleh Jeneral Tariq bin Ziyad berhadapan dengan tentera Kristian Visigoth yang dipimpin oleh Raja Roderic. Walaupun nisbah tentera Islam adalah 1:3 berbanding tentera Kristian, mereka mampu menggapai kemenangan dan sekaligus menawan ibu kota Visigoth di Toledo. Peperangan ini membuka jalan kepada penguasaan empayar Islam Umayyah di Andalusia selama hampir 800 tahun.
Peperangan ini juga menyaksikan Raja Roderic dan beberapa bangsawan Visigoth mati dan kemudiannya Cordoba menjadi ibu kota baru bagi Kerajaan Umayyah Andalus. [2]
Peperangan Hittin
Peperangan ini berlaku pada 1187 M di bumi Palestin. Tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubi berhadapan dengan Tentera Salib dari negara-negara Eropah. Pertempuran ini merupakan kemenangan besar bagi tentera Islam dan membuka jalan kepada pembukaan Kota Baitulmaqdis oleh kuasa Islam buat kali yang kedua.
Peperangan Saif al-Quds
Peperangan ini adalah satu-satu contoh daripada siri-siri peperangan yang dihadapi oleh umat Islam pada bulan Ramadhan selepas abad ke-21. Peperangan selama 12 hari ini berlaku pada tahun 2021, di tengah-tengah masyarakat dunia berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19 merupakan rentetan daripada penjajahan Zionis Israel ke atas bumi Palestin. Antara peristiwa yang membawa kepada peperangan ini adalah tindakan zalim tentera Zionis mencabuli kesucian Baitulmaqdis dan mengusir penduduk Arab Palestin di Sheikh Jarrah.
Peperangan ini menyaksikan Hamas bersama-sama gerakan pembebasan Palestin yang lain seperti Jihad Islami di Wilayah Gaza bergabung dalam menghadapi operasi ketenteraan besar-besaran Zionis di wilayah tersebut.
Penutup
Siri-siri peperangan yang berlaku antara umat Islam dan Kafir daripada awal perutusan Nabi Muhammad SAW sehinggalah ke hari ini membuktikan sunnah pertembungan antara Haq dan bathil, yang tidak pernah putus. Hakikat berlakunya sebahagian daripada siri jihad ini ketika bulan Ramadhan yang diberkati membuktikan bahawa kewajipan berpuasa menghadkan kemampuan umat Islam untuk mencapai urusan-urusan kehidupan mereka secara maksimum. Sesungguhnya, orang beriman akan memahami bahawa sebarang kemenangan dalam peperangan atau kejayaan yang dikecapi adalah juga urusan dari Allah SWT.
Rujukan
[1] | N. Akhtar, “The Battle of Badr: From Challenge to Chance,” Journal of Social Sciences, pp. 157-164, 2016. |
[2] | J. R. Halverson, “The Tariq ibn Ziyad Master Narrative,” dalam Consortium for Strategic Communication, Arizona, 2011. |
Fahmi Bahrudin
Felo Penyelidik PEMIKIR