Teknologi Alam Melayu bukan Sekadar Sejarah

0

Kami di PEMIKIR berasa berbesar hati menerima kunjungan Prof Emeritus Dr Che Husna Azhari yang merupakan Pengarah Penyelidikan dan Teknikal di Entruss Ventures Sdn Bhd, semalam. Beliau merupakan seorang ilmuan yang dikenali antara kepakarannya dalam bidang Teknologi Alam Melayu. Kehadiran beliau ke Astaka Fikir disambut oleh Pengerusi PEMIKIR Prof Madya Dr Norsaleha Mohd Salleh.

Pelbagai topik yang dibincangkan antaranya kepentingan meluaskan perbahasan Teknologi Alam Melayu hari ini yang bukan dilihat sekadar sejarah tetapi juga sebagai manfaat bagi pembangunan teknologi hari ini. Beliau menekankan tentang pentingnya generasi muda hari ini diberi pendedahan tentang Teknologi Alam Melayu pada perspektif berbeza dari sekadar penceritaan, ia hendaklah dilihat sebagai pewatanan ilmu yang lahir daripada kearifan tempatan.

“Sebagai contoh dalam perubatan saya melihat antara beza pengamal perubatan antara dahulu dan hari ini adalah mereka terdahulu lebih arif tentang hakikat penyakit atau hakikat rawatan diperlukan, berbeza dengan perubatan moden hari ini yang sekadar berpegang pada proses yang telah ditetapkan. Mereka terdahulu juga melihat sakit itu adalah cerminan antara zahir dan batin sedangkan hari ini sakit itu dinilaikan pada jasad semata”

Menurut beliau lagi, faktor besar yang menyumbang kepada berkembangnya kemajuan Teknologi Alam Melayu adalah apabila Islam datang yang akhirnya membawa kepada kesepaduan ilmu tanpa memisahkan antara satu sama lain. Antara elemen utama di dalam keilmuan Islam yang mempengaruhi Alam Melayu adalah tingginya nilai ilmu serta besarnya peranan guru sebagai mata air ilmu.

Perbincangan bersama Prof Emeritus Dr Che Husna Azhari

“Hari ini dunia pendidikan kita menghadapi ancaman apabila peranan serta fungsi guru sudah mula diperkecilkan sedangkan suatu masa dahulu guru adalah paksi kepada budaya ilmu itu sendiri. Dulu guru yang berperanan menilai seseorang murid melalui suatu konsep disebut ‘tanggung’ bagi melihat kemampuan anak murid menanggung sesuatu ilmu tersebut sedangkan hari ini ianya telah hilang atas penyelewengan ‘pendemokrasian ilmu’.”

Turut sama dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah bentuk-bentuk kerjasama yang akan dilakukan pada masa hadapan di Perpustakaan Peradaban Astaka Fikir bagi mengarusperdanakan wacana Teknologi Alam Melayu dikalangan masyarakat. Ianya dilihat penting sebagai landasan pembangunan identiti watan serta besarnya peranan bangsa Melayu dalam mencorak pembangunan dan kemajuan teknologi pada masa lalu dan di masa hadapan.

Kami di PEMIKIR mengucapkan terima kasih Prof Emeritus Dr Che Husna Azhari atas perkongsian buah fikiran serta kunjungan ini. Kami juga mengajak para ilmuan serta cendekiawan untuk kita saling berkerjasama di Astaka Fikir bagi membangun pembudayaan ilmu dikalangan masyarakat bagi membangun peradaban di masa hadapan.

Leave A Reply

Your email address will not be published.