Kecemerlangan Akademik vs Sahsiah Terpuji: Wacana Pendidikan Sabah Cari Keseimbangan Kemenjadian Murid

ARTIKEL | 8 JAN, 2024

Ustaz Amar Ismat

Penyelidik PEMIKIR

Kongsi artikel

Pada 20 September 2026, Felo Kanan PEMIKIR, Dr. Nornajwa Ghazali, bersama Timbalan Pengarah Kajian PEMIKIR, Ustaz Amar Ismat Mohd Nasir, telah dijemput menghadiri Diskusi Pendidikan 2.0 yang berlangsung di Hotel Le Méridien, Kota Kinabalu.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan iGuru Sabah itu mengangkat tema “Pembentukan Karakter Murid: Kecemerlangan Akademik atau Sahsiah Terpuji?” serta menghimpunkan ahli akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru dan pemegang taruh pendidikan di Sabah bagi membincangkan hala tuju pendidikan dan pembentukan karakter generasi masa hadapan

Dalam program tersebut, Dr. Nornajwa membentangkan kertas bertajuk “Pendidikan dalam Meledakkan Potensi Insan”. Menerusi pembentangannya, beliau menekankan bahawa peranan pendidikan tidak sewajarnya dibataskan kepada pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, falsafah pendidikan perlu memberikan ruang kepada pengembangan dan ledakan potensi insan berdasarkan kecenderungan serta keupayaan setiap pelajar.

Beliau turut menggariskan tujuh jenis potensi insan yang perlu dikembangkan dalam proses pendidikan berdasarkan kajian beliau terhadap karya-karya Ibn Khaldūn. Pendekatan ini memperlihatkan pendidikan sebagai proses pembangunan insan yang menyeluruh, bukan sekadar mekanisme untuk memperoleh pencapaian akademik.

Dalam sesi diskusi, Ustaz Amar pula mengemukakan pandangan bahawa kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah terpuji tidak seharusnya dipisahkan dalam pendidikan. Matlamat pendidikan sewajarnya adalah untuk melahirkan anak didik yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan akademik, bahkan memiliki akhlak serta keperibadian yang baik.

Menurut beliau, antara cabaran yang perlu dinilai semula ialah sejauh mana modul dan taksonomi pendidikan yang banyak mengambil acuan pemikiran Barat telah mempengaruhi cara kita memahami matlamat pendidikan, sehingga keluasan dimensi pendidikan sebagai proses pembentukan insan kadangkala kurang diberikan perhatian.

PEMIKIR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas kesudian menjemput wakil PEMIKIR untuk berkongsi pandangan dan gagasan dalam diskusi ini.

Semoga wacana dan diskusi seumpama ini terus dirancakkan sebagai medan pertukaran fikiran antara ahli akademik, pendidik, masyarakat awam dan pemegang taruh pendidikan, khususnya dalam usaha menilai semula realiti serta cabaran pendidikan semasa demi melahirkan generasi yang cemerlang dari sudut ilmu, potensi dan sahsiah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights