Baru ini telah dianjurkan sesi Sanggar Kerja 2026 dikalangan kumpulan Felo Pengkaji dibawah Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR). Pelbagai topik dibahaskan meliputi gerak kerja ke hadapan serta perbahasan kepentingan membina keilmuan hingga membentuk sekolah pemikiran dalam membangun peradaban masa hadapan.
Antara perkara yang didiskusikan adalah berkenaan peranan falsafah ilmu sebagai asas dalam membina kembali peradaban Islam. Ia bertitik tolak daripada memahami realiti ketamadunan Barat yang mencengkam ummah pada hari ini, kepincangan itu tidak sekadar terbit daripada kefasadan kepimpinan atau kerosakan sistem sedia ada tetapi lebih mendasar iaitu dikotomi falsafah ilmu Barat yang mendasari.
Maka hanya melalui falsafah ilmu yang bersepadu meliputi kesemua sumber ilmu membolehkan insan memahami segala perkara berpaksikan kebenaran. Politik, ekonomi, kebudayaan, perundangan dan sebagainya perlu difahami secara benar barulah ia boleh membawa kepada maslahah insaniyyah yang ingin dicapai dibaliknya.
Usaha melakukan perubahan melalui jalan membina pemikiran ini bukanlah jalan yang mudah, ia menuntut juhud yang mendalam, ketajaman akal fikiran serta ketulusan jiwa. Inilah yang difahami dari makna hidayah, petunjuk iaitu mengeluarkan kemanusiaan daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan.
Moga usaha kecil PEMIKIR ini menjadi agenda besar ummah keseluruhannya dalam kita melakukan perubahan. Ia mesti bermula dengan ummah dikeluarkan daripada rangka pemikiran Barat dan berdiri atas manhaj keilmuan tersendiri dalam menaggapi realiti.




















