Wacana Falsafah Negara Bangsa : Alternatif Ummah

ARTIKEL | 8 JAN, 2024

amirul

Setiausaha PEMIKIR

Kongsi artikel

Baru ini dianjurkan sesi diskusi terbuka di Astaka Fikir bersama Imam Tom Facchine yang merupakan Pengarah Penyelidikan Yaqeen Institute for Islamic Research, Amerika Syarikat. Dalam sesi tersebut beliau membahaskan idea tentang kritikan terhadap konsep negara-bangsa (nation-state) pada perspektif Prof Wael b Hallaq.

Persoalan utama kepada topik ini yang cuba dirungkai adalah: adakah nation-state ini adalah suatu konsep yang universal tidak terikat dengan apa-apa landasan pemikiran? Atau sebenarnya ia adalah sebuah konsep yang dibentuk oleh sebuah ideologi, didasari epistemologi tersendiri sehingga memberi makna khusus apa yang diertikan sebagai sebuah state?

Bagi menjawab persoalan besar ini, Wael Hallaq menggunakan metod geneologi iaitu cuba melihat susur galur ke belakang sesuatu idea (origin of idea) bagi melihat apa yang membentuk sesuatu konsep yang sedia ada pada hari ini. Beliau mengembangkan dari perbahasan Talal Asad yang melihat sekularisme sebagai satu projek politik dan sejarah, yang muncul dari konteks Kristian Eropah dan kemudian dipaksakan ke atas masyarakat lain.

Selain melihat pada aspek susur galur, Wael Hallaq juga menekankan perspektif memahami apakah ia ‘modern knowledge’ melalui buku Restating Orientalism: A Critique of Modern Knowledge. Menyedari kolonialisme yang berlaku bukan sekadar penjajahan fizikal tetapi yang lebih bahaya mengancam cara fikir tempatan (epistemicide). ‘Knowledge’ baharu yang dibentuk tidak lagi mempunyai apa-apa makna moral serta yang lebih utama ia didasari projek modeniti yang dipaksakan pada bukan-Barat.

Pada Prof Wael Hallaq, memahami kedua hal ini membolehkan kita mengenal hakikat nation-state yang sedia ada hari ini. Ia bukan sekadar sebuah struktur atau sistem kenegaraan yang bebas nilai, tetapi hakikatnya ia terbit dari rahim ideologi Barat. Oleh sebab itu struktur nation-state ini akan mengancam untuk wujudnya identiti ummah, tidak membolehkan agama berperanan melainkan secara ‘institusi negara’ dll kerana ideologi itu telah sebati dalam struktur tersebut.

Bagi Wael Hallaq, tidak memahami hakikat konsep nation-state ini menyebabkan keterlibatan sebahagian umat Islam dalam politik pada hari ini tidak dipandu oleh visi yang jelas. Kesannya mereka akan hanyut dengan arus kuasa dan politik sehingga membawa kepada pencairan identiti serta penyimpangan dari kehendak asal keberadaan mereka dalam dunia tersebut. Akhirnya keberadaan mereka tidak lagi releven untuk dibahaskan kerana mereka sudah menjadi seperti pemain politik lainnya.

Dalam sesi diskusi dibincangkan beberapa persoalan antaranya tentang adakah konsep nation-state yang dinyatakan itu terhad berlandaskan pada pemerhatian di negara Barat tanpa melihat seperti Indonesia dan Malaysia. Selain itu dibincangkan apakah ia yang diketengahkan Wael Hallaq tentang konsep komuniti berdasarkan sejarah masih releven dengan perkembangan teknologi hari ini yang semakin kompleks. Turut dibahaskan apakah epistemologi pada idea tersebut dan bagaimana ia dibangunkan.

Moga diskusi seperti ini dapat mengangkat wacana umat Islam untuk bersifat lebih kritis dalam memahami realiti yang sedia ada pada hari ini.

MENJUNJUNG ILMU MEMBANGUN PERADABAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights