Virtue Ethics : Etika sebelum Kekuasaan dalam Pemikiran al-Raghib al-Asfahani

ARTIKEL | 8 JAN, 2024

pemikir

Kongsi artikel

Minggu lalu PEMIKIR ada menganjurkan diskusi di Perpustakaan Astaka Fikir bersama sarjana Muslim dari Negara Afrika Selatan iaitu Dr Yasien Mohamed dan Ust Nabil Yasien. Topik yang dibahaskan dalam sesi tersebut adalah gambaran awal terhadap epistemologi Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Raghib al-Asfahani.

Dr. Yasien membuka diskusi dengan menjelaskan latar akademik kenapa beliau memilih al-Asfahani. Ia bermula ketika kajian sarjana beliau di Amsterdam pada tahun 1991 yang ketika itu dibawah seliaan Prof. Hans Daiber. Prof mencadangkan nama al-Asfahani kerana baginya tokoh tersebut hampir tidak mendapat perhatian dalam kajian khusus. Kitab al Asfahani yang banyak dikaji oleh Dr Yasien adalah al-Dzariah ila Makarim al Shariah.

Beliau seterusnya menghuraikan latar konsep ‘virtue ethics’ yang mula memasuki dunia Islam melalui usaha terjemahan Hunayn ibn Ishaq pada abad ke-9, karya etika Aristotle. Tradisi ini kemudiannya dikembangkan oleh tokoh seperti Ibn Miskawayh dalam Tahdhib al-Akhlaq melalui proses Islamisasi konsep-konsep etika. Keistimewaan al-Raghib, menurut beliau, ialah pendekatan ‘Quranic framing’ dalam menstrukturkan konsep asas etika yang asalnya bersumberkan Aristotle.

al-Asfahani dalam kitab al-Dzari’ah juga menekankan konsep khalifah yang ditafsirkan sebagai keupayaan penguasaan diri sebelum memerintah atau berinteraksi dengan orang lain. Ethics before rulling, ethics before other menjadi asas besar sebelum lainnya. Menjadikan etika sebagai asas dalam politik sebelum kekuasaan dan hubungan sosial serta dengan meletakkan matlamat akhir etika adalah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ust Nabil Yasien pula dalam pembentangannya menumpukan perhatian kepada konsep keraguan dalam pemikiran al-Ghazali. Ia diinspirasikan oleh pembacaan beliau terhadap karya Charles Taylor tentang A Secular Age, yang menggambarkan zaman moden sebagai “age of doubt”. Menurut beliau, untuk memahami keyakinan al-Ghazali, seseorang mesti terlebih dahulu memahami jenis keraguan yang dihadapi oleh tokoh tersebut.

Keraguan al-Ghazali bersifat metodologikal dan berfungsi sebagai perjalanan menuju keyakinan, berbeza dengan keyakinan ‘cogito ergo sum’ Descartes yang bertunjangkan “light of reason”. Sebaliknya, al-Ghazālī membangunkan keyakinan melalui transcendent intellectualism (divine light), iaitu nur Ilahi yang membawa kepada keyakinan melampaui batas rasional semata-mata.

Rasionaliti memberikan suatu bentuk objective certainty iaitu keyakinan secara objektif, manakala ilmu mukashafah memberikan subjective certainty iaitu keyakinan terhadap hal bersifat subjektif dilalui secara pengalaman langsung. Seperti perbezaan antara orang mengetahui manisnya madu dengan merasai kemanisan madu itu sendiri.

Di akhir diskusi, ditekankan tentang pentingnya adab terhadap ilmu dalam kecelaruan ‘keilmuan’ hari ini, ada tingkatan ilmu, ada ilmu utama yang sepatutnya menjadi asas pada ilmu yang lain. Begitu juga perlu difahami bahaya oversaturation of knowledge yang boleh menghilangkan tujuan dan makna ilmu, sekali gus menegaskan bahawa tradisi etika dan adab Islam bertujuan melahirkan insan berilmu yang seimbang antara akal, jiwa dan tindakan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights