Dalam sesi diskusi bedah buku Projek Taghyir dan Agenda Peradaban di UKM baru ni, antara yang hadir adalah dikalangan pimpinan persatuan pelajar Islam. Mereka berkongsi cabaran semasa yang sedang berlaku antaranya isu semakin berkurangnya ahli mereka dan semakin mekarnya gerakan ‘underground’ yang mengangkat idea-idea haluan kiri.
Saya menyatakan inilah antara kesilapan kita persatuan pelajar Islam dalam menanggapi realiti. Kita memandang rendah kemahuan dan keinginan mahasiswa hari ini. Kita bermudah gambarkan mereka ini tidak lagi berminat dengan wacana-wacana ‘intelektual’ dan ‘berat’ lalu kita banyak mencorakkan aktiviti yang berbentuk ‘ringan’ dan ‘santai’.
Lebih teruk lagi persatuan pelajar Islam sendiri yang membudayakan pertandingan games, duduk melepak dsb kononnya untuk menarik minat generasi baru ini. Akhirnya yang datang tu tidak melekat pon, sekadar ambil peluang melepas tempias nafsu atas ruang-ruang yang kita sendiri buka. Yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran.

Sedangkan selagi namanya manusia pada fasa umur mahasiswa, kehendak mencari kebenaran dalam membentuk identiti diri mereka akan terus berlaku. Pada fasa sekolah menengah mungkin banyak berlandaskan emosi, tetapi bila sampai umur ini mereka mula mencari jawapan berlandaskan intelektual.
Bila mana kita tidak mampu mengisi kekosongan atau jawapan pada pencarian tersebut maka mereka mencari pada idea lain yang dilihat ‘berani’, ‘radikal’ yang berani mengulas persoalan ini pada rangka fundamental. Inilah yang diisi oleh idea golongan haluan kiri, mahasiswa berasa kenyang berbahas bukan terhad isu universiti, tetapi isu masyarakat, isu kenegaraan, isu kemanusiaan, isu kemiskinan dan banyak lagi.
Mereka kenyang kerana mereka seolah rasa dihargai apabila dilayan sebagai seorang ‘dewasa’, seorang yang layak dan mampu berfikir persoalan berat serta berhak diajak berdiskusi dengan matang. Sedangkan yang menyedihkan tanpa mereka sedari ia adalah usaha halus menghakis potensi keinsanan yang ada dalam dirinya.
Sedangkan jika kita lihat dalam Sirah Nabi SAW sendiri, banyak kisah bagaimana Baginda sangat menghargai intelektual golongan muda. Bahkan Baginda bercakap idea-idea besar seperti hadis ‘ya ghulam (wahai anak kecil)’ tentang makna kehidupan. Sahabat RA sangat merasakan daya intelektual mereka dihargai saat bersama Baginda.

Mana mungkin mereka boleh menghargai hasil keilmuan ketamadunan lain puluhan tahun selepas kewafatan Baginda jika mereka sendiri tidak didik menghargai ilmu. Inilah yang dibahas panjang oleh Prof Alparslan dalam bukunya Scientific Tradition bagaimana peranan generasi awal membentuk ‘general framework’ untuk membolehkan aktiviti keilmuan lebih kompleks berdiri di atasnya selepas itu.
Disinilah persatuan pelajar Islam sepatutnya memainkan peranan dan mengisi kekosongan ini. Kita sepatutnya perlu berani bawa wacana intelektual, persoal perkara asasi dan fundamental, ketengahkan idea besar yang mengjangkaui tembok-tembok universiti. Penting ditekankan yang bezanya idea kita terbit berlandaskan pada metodologi atau struktur berfikir yang betul.
Bangunkan kembali makna mahasiswa berilmu dan angkat kembali makna universiti tempat mekarnya budaya serta aktiviti keilmuan. Saat berfikir isu ini saya teringat satu quote awal dalam filem yang mengisahkan bagaimana naiknya seorang diktator German:
“The only thing necessary for the triumph of evil is for good men to do nothing”
Muhasabah untuk diri ini dan kita semua


