PEMIKIR mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri al-Mubarak 1442H pada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia. Moga setelah berlalunya suatu tempoh sebulan pendidikan di Universiti Ramadan yang mulia ini ia mampu mengembalikan kita kepada asal kesucian iaitu fitrah yang menjadi erti pada perayaan ini.
Fitrah adalah antara unsur potensi manusia (quwwah insaniyyah) yang sangat penting dalam mendefinasikan seorang insan. Ia meletakkan insan itu bermula pada perciptaannya dalam keadaan asal yang suci serta bersih. Melalui fitrah ini manusia dapat merasakan wujudnya Tuhan tanpa perlu merenung panjang, dapat berkehendak melakukan kebaikan dan benci kejahatan, mencitai keadilan dan benci kezaliman, mengenal lelaki-wanita sebagai pasangan dan pelbagai lagi.
Namun fitrah inilah juga yang cuba dihakis dalam kerangka humanisme yang didokong tamadun barat hari ini. Pada falsafah barat moden, ia bermula dengan penerapan idea ‘tabula rasa‘ (blank state) oleh John Locke pada kurun 17 yang meletakkan manusia itu dalam keadaan kosong tanpa ada sebarang asas pengetahuan atau kehendak. Ia secara tidak langsung telah menafikan fitrah insan yang sudah ditetapkan oleh Allah pada penciptaan manusia.
Daripada penafian fitrah pada insan inilah berkembangnya segala falsafah barat lainnya sama ada menafikan tuhan (atheism), menafikan tiada kebenaran pasti (subjectivism) sehingga segala kehendak hawa nafsu manusia dilihat sah seperti hubungan sejenis dan lainnya.
Tuhan dan Agama dilihat hanyalah tradisi (lawan modernism) ciptaan manusia apabila tidak dapat menjumpai jawaban pada rahsia alam dan baik buruk hanyalah sekadar budaya ciptaan manusia atas keperluan zaman. Ini menjadikan kesemua hal ini boleh dirungkai (dekonstruktifisme) apabila tidak lagi dilihat releven kerana tiadanya asas fitrah pada insan.
Hilangnya fitrah ini akhirnya telah melahirkan suatu kelompok atau tamadun manusia yang kejam langsung tiada perikemanusiaan. Ini yang kita saksikan di Tanah Suci Al-Aqsa saat ini.
Kita tidak dapat bayangkan bagaimana boleh lahir manusia yang boleh membunuh, menyeksa, memijak, menzalimi manusia lain tanpa ada sebarang perasaan bersalah. Tidaklah ini terjadi melainkan telah hilangnya fitrah dalam jiwa mereka, mereka tidak ubah seperti binatang yang mereka sendiri dokong dalam teori manusia mereka bahkan lebih teruk.
Disinilah perlunya kita umat Islam kembali mengangkat wacana berkenaan fitrah di dalam kerangka Epistemologi Peradaban Islam. Manusia perlu dikembalikan kepada hal asalnya iaitu insaniyyah (kemanusiaan) yang memberikannya kemuliaan sebagai khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan alam ini.
Peradaban Islam yang berdiri di atas fitrah perlu kembali dibangunkan meruntuhkan Tamadun Taghut yang berdiri atas kezaliman dan kesesatan.Bermula daripada fitrah kita akan membangun peradaban ini
!لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ،