Hubungkait Sains Moden dan Pemikiran Islam (Kalam)

ARTIKEL | 8 JAN, 2024

pemikir

Kongsi artikel

Pada minggu lalu PEMIKIR telah menganjurkan diskusi bersama Dr Muhammad Ikhwan Azlan, Pensyarah Kanan CASIS-UTM membahaskan buku God, Nature and the Cause karya Dr Basil Altaie. Buku tersebut membahaskan idea sains Islam pada perspektif hubungkait dapatan sains moden dengan pandangan pemikiran Islam khususnya kalam.

Idea utama penulisan tersebut ialah menggabungkan pemikiran falsafah, teologi Islam, dan sains moden untuk menangani isu-isu utama seperti hubungan antara Tuhan dan alam, kausaliti, serta bagaimana sains dapat difahami dalam kerangka pandangan dunia Islam. Penulisan ini dilihat satu cubaan untuk berinteraksi secara langsung dengan dapatan sains semasa berbanding perbahasan secara framework yang banyak dibahaskan pemikir sebelum ini.

Dr Basil Altaie menggunakan asas pengkategorian perbahasan kalam kepada dua iaitu jalil al-kalam yang berbahaskan tentang ketuhanan, malaikat, syuga, neraka dsb serta daqiq al-kalam berbahas tentang alam fizik, atom, hukum berkenannya dsb. Bagi beliau wacana daqiq al-kalam perlu diangkat terutama dalam wacana sains teoritikal fizik hari ini khususnya yang berkait dengan fizik kuantum dan bing bang.

Ini kerana wacana teoritikal fizik semasa ini telah membawa kepada perbahasan asas berkait konsep waktu, ruang dan gerak yang merupakan antara konsep berkait tabie yang dibahaskan oleh kalam sebelum ini dalam mengisbatkan wujud Tuhan. Tauhid menurut Altaie bukan sekadar konsep teologi, tetapi sebagai prinsip asas dalam memahami realiti. Melaluinya dapat diketahui Tuhan tidak mencipta alam dan membiarkannya berjalan sendiri, tetapi sentiasa mencipta dan mengatur secara aktif.

Sebagai contoh perbahasan fizik kuantum telah membawa kepada teori ‘indeterministik’ di mana tiada hubungan tetap antara sebab-akibat berbeza dengan teori fizik Newton sebelum itu berbentuk determinisme — setiap fenomena mesti ada sebab fizikal yang tetap dan boleh diramal. Perkembangan ini dilihat selari dengan perbahasan kalam seperti dibahaskan oleh ulama kalam seperti al-Ghazali bahawa sebab tidak menghasilkan akibat, tetapi Allah menciptakan sebab dan akibat bersama secara berterusan (al-khalq al-mutajaddid).

Dalam diskusi ini juga membawa kepada beberapa persoalan terhadap apa yang dikatakan dalam karya tersebut. Adakah kita sedia menerima konsep teori kuantum Copenhagen itu secara menyeluruh hingga disandarkan pada perbuatan Tuhan dengan makna sunnatullah? Adakah fenomena alam yang dilihat sebagai hukum fizik (law of physic) dibahas dalam sains boleh dilihat berkaitan secara langsung dengan hukum alam (law of nature) yang cuba dibahaskan oleh mutakallimun?

Diskusi tentang karya ini membawa kepada pentingnya perbahsan falsafah sains dalam rangka falsafah ilmu dibahaskan pada hari ini. Menanggapi persoalan dan permasalahan sains moden tidak sepatutnya dibahas pada peringkat nilai yang terbentuk sahaja, tetapi juga perlu kepada wacana pada perspektif ‘meta’ yang mendasari pembentukan ilmu tersebut.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights