Alhamdulillah, pada 8 April 2021 bersamaan dengan 25 Sya’ban 1442H lalu, PEMIKIR berkesempatan mendengar perkongsian mengenai Pengantar Pemikiran Sains Melayu yang disampaikan oleh Prof Emeritus Dr Che Husna Azhari dan Prof Dr Wan Mohtar Wan Yusoff.
Gagasan pewatanan ilmu, sains dan teknologi yang diperkenalkan oleh ilmuwan Melayu ini mesti dikembangkan oleh penyelidik muda yang mengimpikan kewujudan peradaban Melayu di rantau ini. PEMIKIR amat menghargai kesudian Prof Emeritus Dr Che Husna Azhari dan Prof Dr Wan Mohtar Wan Yusoff untuk berkongsi mengenai tajuk sains melayu kepada warga PEMIKIR.
Antara perkongsian menarik yang disampaikan adalah tentang konsep epistemologi ilmu yang lahir daripada jiwa bangsa Melayu itu sendiri. Konsep epistemologi Melayu banyak berkait tentang erti guru. Terdapat beberapa tingkatan guru yang dibangunkan oleh epistemologi Melayu seperti adiguru, guruasal dan lainnya.
Kesemua konsep epistemologi ini telah disepadukan dalam sebuah pusat pendidikan yang dinamakan sebagai sekolah pandai yang bertujuan mengangkat diri insan daripada seorang tukang menjadi golongan pandai. Hal ini menunjukkan Melayu adalah sebuah bangsa peradaban yang mempunyai falsafah ilmunya yang tersendiri.
Diharapkan kerjasama sebegini dapat dirancakkan lagi pada masa-masa akan datang, dengan izin Allah.