Jumaat minggu lalu Perpustakaan Peradaban Astaka Fikir menerima kunjungan ziarah daripada asatizah yang memimpin Pusat Jagaan Anak Yatim Tak Bai, Selatan Thailand. Mereka diwakili oleh Ust Anuar bin Hasan, Ust Nawawi, Ust Arif sambil diiringi oleh Ust Yusri Ismail. Pelbagai isu semasa berkaitan perkembangan semasa hal umat Islam Pattani yang mereka kongsikan.
Patani adalah sebuah wilayah Islam yang mempunyai makna besar dalam sejarah umat Islam Nusantara. Ia bukan sekadar salah satu daripada peradaban Islam di sini, bahkan menurut sejarawan ia adalah antara wilayah awal yang menerima Islam selepas Pasai sekitar abad ke 11 sehingga ia menjadi jambatan kepada pengislaman semenanjung tanah Melayu.
Besarnya peranan wilayah sebagai pusat penyebaran Islam dapat dilihat apabila ia dikenali sebagai pusat kesusasteraan dan pendidikan melalui kegiatan ulamak dan kemegahan institusi pengajian pondok yang membawa kepada lahirnya ramai ulama dan pemikir nusantara. Di dalam sejarah juga kita melihat bagaimana wilayah ini menjadi benteng utama tanah Melayu daripada serangan, kekejaman dan kezaliman Siam.
Kesan kejatuhan wilayah ini akibat serangan Siam pada tahun 1786 memberi kesan besar kepada umat Islam di sana sehingga hari ini. Sejak dari itu terdapat pelbagai usaha (secara keras atau halus) untuk menghapuskan identiti Islam daripada masyarakat wilayah ini namun segala usaha tersebut masih tidak dapat memadam ruh Islam di dalam jiwa mereka.
Dalam pertemuan itu juga dibincangkan tentang pentingnya generasi muda Patani hari ini dipandu serta diberi kefahaman makna perjuangan dan sejarah yang benar. Kalau tidak semangat tersebut akan dieksploitasi sesetengah pihak bagi kepentingan tertentu yang akhirnya akan membawa mudarat lebih besar.
Kami di PEMIKIR bersama tetamu yang hadir juga bersepakat tentang pentingnya kita membina kembali jaringan umat Islam serantau. Tembok nasionalisme yang ada pada hari ini tidak sepatutnya memisahkan jiwa kita yang pada sejarahnya adalah sebuah Peradaban Melayu Islam yang agung.
Seperti mana kata Hamka “Tarikh tanah air kita yang hakikatnya satu itu, sudah lama tidak kita yang menyusunnya lagi, tetapi telah disusun oleh orang lain”. Moga akan lebih banyak pertemuan seperti ini dikalangan Umat Islam Nusantara di masa hadapan.